PAS Tegas, Tidak Bersetuju Dengan Pesta Arak

1177

KUALA TERENGGANU – PAS tetap bertegas tidak menyokong pesta arak diadakan di Malaysia, walaupun agama selain Islam mungkin membenarkannya.

Ketua Penerangannya Ustaz Nasruddin Hassan berkata, kaum dan agama lain di negara ini harus menghormati Islam yang menjadi agama Persekutuan dan sensiviti umat Islam terhadap ‘pesta mabuk’ itu.

Beliau berkata, PAS mengambil sikap tegas kerana walaupun mungkin ada mana-mana agama yang membenarkan mereka minum arak tetapi tidak sayugia diadakan pesta di tempat yang terbuka.

“Soal yang kita bantah ialah Pesta Arak bukan bermakna sekiranya sesuatu yang dibenarkan mengikut amalan agama mereka, maka mereka boleh membuat pesta terbuka begitu,

“Kalau mereka bercakap soal hak asasi mereka, kenapa mereka tidak memelihara pula hak asasi orang lain,”soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di tapak Fastaqim 2.0, di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Selasa, 26 September, disini.

Oleh itu katanya, pesta yang sebegitu sangat mencabar sensitiviti umat Islam maka kami mengambil sikap tidak bersetuju.

“PAS berharap kerajaan Selangor tegas dalam soal ini dan mereka mesti membuat kenyataan dan juga tindakan secara hitam putih. Jangan ‘play save’ dalam sebarang kenyataan,

“Sebab kami tidak mahu pesta itu nanti menarik pelbagai pihak secara tak langsung mempromosikan jenama-jenama dan juga bahan minuman beralkohol ini dimana jika kita tengok diperingkat antarabangsa sekalipun,

“sama ada badan kesihatan antarabangsa badan-badan agama peringkat antarabangsa, mereka mula menyedari risiko atau implikasinya minuman beralkohol ini,”katanya.

Justeru, PAS mempersoalkan kenapa Malaysia seperti mahu mengundur kebelakang nak mempromosikan arak sedangkan banyak lagi perkara-perkara lain untuk dipestakan.