PAS Sudah Bersedia, Tunggu PRU15 Sehingga Habis Penggal Keempat Belas

147

PAS Sudah Bersedia, Tunggu PRU15 Sehingga Habis Penggal Keempat Belas

MARANG – PAS sudah menggerakkan jentera di seluruh negara dan bersedia hadapi PRU15 pada bila-bila masa, namun memberi ruang sehingga habis penggal ke-14.

Presidennya, Tuan Guru Tan Sri Seri Abdul Hadi Awang berkata ia bagi membolehkan kerajaan melaksanakan tugas dalam tempoh yang mencukupi.

“Kita dah gerak semua jentera-jentera di seluruh negeri, seluruh negara. Kita gerak cawangan-cawangan kita dan tambah cawangan-cawangan, tambah ahli-ahli

“Yang semasa ini kita bersedialah pilihan raya bila-bila masa, walau pun kita dah buat kenyataan tiga kerajaan negeri supaya habis penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih, politik nii bersama dengan wabak yang belum lagi selesai,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di masjid Rusia, pada Jumaat, 6 Mei.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, PAS telah membuat kajian ‘bedah siasat’ tiga pilihan raya negeri di Sabah, Melaka dan Johor dan akan terus membawa agenda perpaduan.

“sehingga kini kita akan meneruskan dan memperkukuhkan kerjasama (MN dan PN) yang ada pada hari ini dan membawa agenda perpaduan ummah, umat Islam dan manusia,

“orang Islam melalui tiga parti besar Melayu PAS, Umno dan Bersatu disamping parti GPS Sarawak,” jelasnya.

Di masa yang sama, kata beliau, PAS mengajak parti-parti dan NGO bukan Islam yang tidak ekstrem dan boleh berbincang untuk merealisasikan hasrat bersatu padu.