PAS Sambut Baik Pembukaan Kedutaan Untuk Palestin

1394

PAS menyambut baik pengesahan YAB Perdana Menteri bahawa Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan, bagi membolehkan bantuan dan sokongan berterusan disalurkan kepada rakyat Palestin.

Presidennya Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tindakan diplomatik ini adalah suatu langkah ke hadapan dalam hubungan Malaysia-Palestin,

“(ia) demi mempertahankan hak dan keadilan rakyat Palestin yang berdepan dengan kezaliman regim Israel.

“PAS pernah mencadangkan hal ini kepada pihak Kerajaan, antaranya melalui soalan lisan Ahli Parlimen Sik bertarikh 13 Mac 2019 di Parlimen,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, saranan PAS telah disambut baik oleh Menteri Luar yang menyifatkannya sebagai suatu pendekatan yang munasabah.

Justeru itu tegas beliau, PAS sentiasa menyokong sebarang usaha bagi membebaskan bumi Palestin dan membela rakyatnya yang ditindas, serta menolak sebarang hubungan diplomatik dengan regim Israel.