Oleh : Salwanaa Ghani
KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah merupakan pencorak dan peneraju utama kepada politik di Malaysia yang lebih sejahtera.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Ustazah Nuridah Salleh berkata, pendekatan Budaya Politik Malaysia Sejahtera ( BPMS) adalah manual PAS berinteraksi dengan 28 juta rakyat Malaysia menjelang pilihan raya umum kali ke-14 (PRU14) ini.
Menurutnya, PAS telah mengemukakan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan Dokumen Hijau sebagai manifesto, janji yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat memerintah.
“Jadi Insyaa Allah, menerusi perancangan yang terkandung dalam WINS di situ antara perancangan PAS kepada negara Malaysia,
“mudah-mudahan kita harap hal ini akan dapat dimudahkan oleh Allah SWT kepada agenda kita yang mulia ini,
“dan berharap rakyat terbanyak dapat membuka mata dan hati bagi peluang kepada PAS menerajui kepimpinan negara Malaysia, Insyaa Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Mesra Muslimat Bersama MEDIA di Pejabat Agung PAS di sini semalam petang Rabu 28 Februari.
Beliau berkata contoh urus tadbir cemerlang dan bersih, dapat dilihat di negeri Kelantan sekarang, Kedah dan Terengganu sebelum ini.
“sebenarnya terlalu banyak jasa yang telah dapat dilaksanakan oleh PAS untuk rakyat,” jelasnya.
Kejayaan tersebut dicapai kerana kerja-kerja siasah kepimpinan PAS, yang meletakkan ia sebagai satu amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah kelak.
“bukan satu kerja hobi sahaja……tetapi merupakan kerja yang di amanahkan oleh Allah SWT setelah kita dimatikan (nanti) dan terpaksa berdepan dengan Allah SWT,
“sebab itulah hasrat PAS untuk menabur jasa bakti kepada rakyat…… mudah-mudahan akan menjadi satu kenyataan,” katanya.
Justeru, Muslimat PAS mengharapkan pada pihak media untuk memberi liputan yang saksama bagi menyampaikan hasrat yang baik daripada PAS ini kepada seluruh rakyat.
Katanya, hasrat PAS itu selari dengan tuntutan Islam bagi memastikan keharmonian hidup manusia sejagat.
“pihak media adalah ejen sosialisasi mesyarakat, secara jelas perhubungan ini perlu disenergikan memperkukuh kesejahteraan negara Malaysia ini,
“Insyaa Allah tuan-tuan dan puan-puan pengamal media akan bersama mengecapi kesejahteraan yang akan dipelopori oleh PAS ini,” tambah beliau.
Turut hadiri dari kepimpinan DMPM , wakil ketua-ketua kepimpinan negeri- negeri juga wakil akhbar-akhbar seperti dari Smasa News, Antarapos.com., The Malaysian Insight, TMI, Sinar Harian, Harakah, Agenda Daily, Buletin Online, Malaysia Kini, NST dan Bernama seperti yang dicatat.





























