PAS Peneraju Politik Malaysia Masa Depan

187

MARANG – PAS sedang bergerak menjadi peneraju utama dalam politik
perdana negara sekali gus bukan lagi parti ‘kampungan’.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, parti itu kini menjadi perhatian dari pihak kawan dan lawan.

Justeru katanya, jentera dan penggerak parti perlu bergerak seiring dengan perjalanan dan arah tuju parti dengan membangunkan ‘mindset’ sebagai pentadbir Kerajaan Persekutuan suatu ketika nanti.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Munaqasah Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS ke 69, di Dewan Dato’ Harun Taib di Rusila di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Dato’ Husain seterusnya berkata PAS bukan sekadar berbicara soal mempertahankan kemenangan di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis tetapi naratif perbincangan ialah soal mencapai kemenangan di peringkat nasional dan mentadbir Putrajaya.

“Sudah pasti ianya besar dan berat, namun saya percaya dengan pengalaman 72 tahun PAS dalam (politik) negara, inilah masanya kita menerajui Kerajaan Persekutuan,” tegas Ahli Dewan Negara itu.

Oleh itu katanya, Munaqasyah Ucapan Dasar yang diadakan adalah penting dan besar peranannya untuk merencana perjalanan parti dengan lebih tersusun dan sistematik.

“Peranan tersebut terutamanya dalam membuka sasaran segmen-segmen baharu sokongan kepada kita (PAS) seperti kelompok bukan Islam serta pelbagai kelompok lain yang memerlukan pendekatan yang berbeza dan lebih cermat,” jelasnya.