PAS Optimis 200K Akan Sertai Fastaqim 2.0

1784

Oleh : KAM

KUALA NERUS – PAS yakin dan optimis kemampuannya bagi mengumpul 200,000 peserta Himpunan Fastaqim 2.0 yang terdiri dari ahli PAS serta penyokongnya.

Pengerusi Fastaqim 2.0, Ustaz Nasaruddin Hassan berkata keyakinan itu berasaskan kejayaan dan pengalaman Dewan-dewan yang ada dibawah parti PAS.

“Insya’Allah, Saya cukup optimis untuk kita (PAS) mencapai sasaran 200,000 peserta Fastaqim 2.0 dan kita mengambil kira pengalaman kita sebelum ini.

“Pengalaman Dewan-dewan sewaktu mereka menganjurkan aktiviti di peringkat dewan mereka sahaja, mampu untuk mengumpul 30,000 orang. Kita ada empat dewan iaitu Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulamak dan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS).

“Cuma mungkin DHPP ini dewan yang ‘bongsu’ tidaklah seramai itu tetapi untuk Dewan-dewan yang lain telah mempunyai kekuatan tersendiri,” jelasnya ketika menjawab pertanyaan media tentang kehadiran 200,000 peserta Fastaqim 2.0 pada 29 dan 30 September ini.

Sebelum itu, satu sidang media diadakan di tapak Himpunan Fastaqim 2.0 yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang, Pengarah Fastaqim 2.0, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Adun Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh dan Setiausaha Jawatankuasa Induk Fastaqim 2.0, Nurul Islam Mohd Yusof.

Ustaz Nasaruddin menjelaskan matlamat penganjuran Fastaqim ini adalah untuk PAS mengembleng kekuatan parti dan memimpin kebangkitan pejuang-pejuang Islam agar terus istiqamah mendepani cabaran dan memuktamadkan kemenangan pada PRU14.

Sehubungan itu, katanya tiga ramuan utama bagi menjayakan Fastaqim 2.0 yang bersejarah kerana bakal menghimpunkan 200,000 penyertaannya.

“Pertama, himpunan ini bersifat santai dan mesra keluarga. Pelbagai aktiviti pantai dan banyak acara dipertandingkan. Rehat minda dan dialog dengan salebriti-salebriti yang diundang. Boleh dijadikan ‘hari keluarga besar PAS’ dan penyokong-penyokong yang bersimpati dengan perjuangan ini.

“Kedua, Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Bakal menyaksikan ikrar setia dari semua petugas-petugas pilihan raya, jentera-jentera pilihan raya PAS di seluruh negara.

“Jadi 200,000 peserta yang bakal berkumpul di Pantai Tok Jembal ini menjadi isyarat yang sangat jelas bahawa PAS di semua peringkat telah bersedia untuk menghadapi PRU14 yang akan datang.

“Ketiga, spiritual dan motivasi perjuangan. Ianya, akan diperkayakan dengan solat berjemaah, solat hajat, munajat untuk mohon pertolongan dan kemenangan dari Allah SWT,” ujarnya.

Beliau mengucapkan selamat datang kepada semua peserta Himpunan Fastaqim 2.0 dan rakyat Malaysia tanpa mengambil kira latar belakang agama, bangsa, parti politik dijemput untuk hadir bagi mereka bersama dengan perjuangan Islam yang didukungi oleh PAS.