Oleh : Khairul Azlam Mohamad
KUALA TERENGGANU – Penyertaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini, bukti parti itu tidak berpakat dengan UMNO bagi memburu kemenangan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang menyokong keputusan kepimpinan tertinggi parti itu agar tidak memberi laluan ‘percuma’ kepada Pakatan Harapan.
Oleh kerana, katanya Terengganu adalah sebahagian daripada entiti parti, PAS akan menghantar ‘skuad’ jentera kempen ke Port Dickson.
“Bila ada ura-ura UMNO tidak mahu menyertainya (PRK), Presiden PAS memaklumkan, PAS tidak akan memberi laluan percuma kepada Pakatan Harapan.
“Alhamdulillah, apa yang dinyatakan itu telah dibuktikan bahawa PAS telah pun meletakkan calon. Insya-Allah, (PAS) Negeri Terengganu akan menyertai sama dan telah pun mengambil keputusan untuk menghantar ‘skuad’ daripada negeri sendiri,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas Majlis Perasmian Kursus Pengurusan Undang-Undang Tanah, Protokol dan Sistem E-Dewan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Primula Hotel, di sini, hari ini (1 Oktober).
Senator Dato’ Husain menjelaskan, PAS Terengganu menyertai pilihan raya ini adalah untuk menang, setelah melihat sesuatu yang tidak kena kepada calon Pakatan Harapan.
“Kita harap, kita menang dan kita (PAS) masuk (PRK) ini untuk menang, insya-Allah. Masalah kemenangan atau kekalahan itu ditentukan oleh pemilihnya dalam pilihan raya.
“Cuma apa yang kita lihat bahawa, calon (PH) Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini seorang yang terkenal di peringkat internasional, seorang yang berpengaruh dalam masyarakat.
“Tetapi, apabila ditentang secara yang begitu meluas oleh pelbagai sektor rakyat, kita (PAS) melihat ada sesuatu yang tak kena pada diri dia (Anwar) mengikut pandangan mata rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, kemunculan bekas pembantu Dato’ Seri Anwar iaitu Saiful Bukhari Azlan yang turut bertanding menggamit pendedahan semula peristiwa lama.
“Saiful Bukhari juga masuk bertanding secara tiba-tiba berdepan dengan Anwar. Ini menggambarkan seolah-olah hendak mendedahkan semula peristiwa-peristiwa lama.
“Kita harap perkara ini tidak berlakulah. Maksudnya, tidak menjadikan isu (liwat) Anwar itu mencemari demokrasi,” jelasnya.
PRK Parlimen Port Dickson ini bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan, PAS dan Bebas.
Hadir sama pada sidang media itu, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali.











