PAS Mahu Dr. Ahmad Samsuri Berperanan Lebih Besar

189

KEMAMAN – PAS mahu Naib Presidennya Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memainkan peranan lebih besar dan berkhidmat kepada rakyat di peringkat nasional.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hasrat meletakkan Menteri Besar Terengganu menjadi Ahli Parlimen bukanlah merupakan suatu perkara yang pelik.

“Kerana di peringkat parlimen kita telah ada tiga orang antaranya dari Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang merupakan Menteri Besar dan juga ahli Parlimen.

“Maknanya kita umumkan tadi bukan sesuatu yang baru dan kita ketengahkan Dr Ahmad Samsuri untuk perancangan yang lebih besar (serta) memudahkan urusan pentadbiran negeri, apa jua isu dapat dibawa ke peringkat parlimen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengisytiharan Calon PAS, di Dewan Terbuka Arena Square, di sini, semalam malam.

Mengulas lebih lanjut, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin dengan pengalaman serta rekod cemerlang mentadbir negeri Terengganu akan memberi kemenangan yang besar kepada PAS.

“Kita yakin berdasarkan maklumat serta kajian yang dijalankan di semua peringkat melibatkan golongan profesional dan rakyat biasa mendapat maklum balas yang cukup baik.

‘Jadi kita mengharapkan kemenangan lebih besar dengan menyasarkan lebih 30 000, kita berusaha ke arah itu.

“Dengan syarat perlu memastikan rakyat Kemaman keluar mengundi 85 peratus.

“Dari segi calon pula sudah cukup dikenali, tiada masalah untuk diperkenalkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, PAS tidak pernah ketandusan calon yang terbaik untuk diketengahkan pada kali ini ada lima calon yang dinilai sebelum pimpinan peringkat tertinggi membuat keputusan untuk mempertaruhkan Dr Ahmad Samsuri.