PAS Kuala Terengganu Yakin Pertahankan Lima Kerusi

363

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu yakin akan mempertahankan kelima-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sokongan rakyat kepada kerajaan negeri begitu memberangsangkan dan beliau yakin mereka akan mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“sehingga ke hari kita telah melakukan lebih 20 program berkebajikan bertujuan untuk membantu rakyat daripada peringkat paling rendah sehingga keatas,

“program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan telah menyaksikan sokongan rakyat yang mengujakan, menyaksikan suatu sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Beliau juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Pemuda Islam Kuala Terengganu (PEMIKAT) di sini pada Jumaat, 8 Ogos.

Oleh itu beliau menyifatkan slogan ‘Ubah’ yang cuba diketengahkan Umno-BN, tidak realistik kerana kerajaan PAS telah pun merubah kerosakan dan keburukan sebelum ini menjadi kebaikan.


“saya terfikir juga, nak ubah apa? adakah kita mahu mengubah sebuah kerajaan yang telah melakukan kebaikan?
“kita telah melakukan dan merperbaiki keburukan dan kelemahan kerajaan yang lepas, kita dah baiki jadi comel, ke nak ubah semula ke guane ni,” soal beliau

Justeru itu, beliau yakin anak-anak muda mempunyai kefahaman yang jelas berdasarkan fakta bukannya mengikut sentimen.

“Kalau kita semua melihat semua media sosial pada hari ini, semua kepimpinan kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat di seluruh DUN termasuk para Pegawai Penyelaras,

“mereka bekerja bersungguh-sungguh, bukan sehari dua ini, tetapi bekerja semenjak diberikan amanah sejak Mei 2018 lalu sehingga sekarang, tidak henti-henti,” tegasnya

Justeru soal beliau lagi, “adakah kita mahu mengubah mereka dan menggantikan mereka dengan yang hanya baru bekerja sehari dua in?”.