Oleh ; Rohayati Ripin
BESUT – Kerajaan PAS Terengganu menegaskan komitmen untuk menunaikan setiap janji manifesto kepada rakyat sebagai teras pentadbiran penggal kedua, bukan sekadar memberi janji tetapi memastikan ia dilaksanakan dan ditepati.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, YB Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, kemenangan penuh PAS pada Pilihan Raya Negeri lalu dengan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen merupakan amanah besar daripada rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Rakyat adalah pemegang taruh terbesar. Mereka menilai setiap tindakan dan dasar kerajaan. Sebab itu kita bukan sekadar berjanji, tetapi mesti melaksanakan janji tersebut.
“Alhamdulillah sebahagian besar manifesto kita berjaya laksanakan. Kita bukan sekadar berjanji kepada rakyat tetapi melaksanakan janji manifesto kita ini,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana sempena Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu 2025 di kota Putera Square, Kampung Raja, pada semalam.


Tambah Satiful, apa yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan persekutuan, termasuk tindakan, pelaksanaan dasar serta halangan yang dihadapi, dapat dilihat secara jelas hari ini.
Antaranya, isu hak royalti minyak negeri Terengganu yang masih lagi dipegang oleh Kementerian Kewangan Kerajaan Pusat dan belum disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.
“Dahulu, Perdana Menteri yang memimpin hari ini pernah bersama-sama memperjuangkan dan menandatangani piagam bagi mengembalikan hak royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak termasuk Terengganu dan Kelantan.
“Namun, seperti yang kita sedia maklum, pemimpin yang ada sekarang (PMX) hanya sekadar berjanji tetapi gagal menunaikan dan menepati janji tersebut,” ujar Satiful.
Beliau turut menegaskan bahawa seluruh ahli PAS perlu terus bersatu, memberi pandangan dan menyokong pentadbiran negeri supaya kemenangan ini dapat dipertahankan serta dasar perjuangan Islam dapat diterjemahkan secara menyeluruh di negeri ini.


“Kita di peringkat pimpinan membuka ruang seluas-luasnya untuk semua pihak berkongsi pandangan, kerana ini adalah jemaah kita dan negeri kita bersama.
“Kita perlu memikul tanggungjawab dan bekerjasama bagi menegakkan apa yang diperintahkan oleh Allah serta menunaikan janji-janji kita demi kesejahteraan rakyat sebagai pemegang taruh terbesar di negeri Terengganu.
“Insya-Allah, kita bertekad mempertahankan 40 kerusi di Terengganu dan berharap semua pihak bersiap sedia dari awal untuk melaksanakan gerak kerja, seterusnya terus memimpin negeri ini dengan lebih baik,” tegasnya.
“Ijtimak ini sebagai medan untuk bermuhasabah setelah kita diberi peluang oleh Allah swt untuk memimpin Negeri Terengganu.
“Program ini kita akan lakukan berkala untuk kita mendengar pandangan-pandagan daripada ahli untuk memperbaiki kelahaman dan menguatkan parti PAS yang kita dokongi,” tambahnya.
Katanya lagi, PAS bukan sekadar sebuah parti politik berdaftar, tetapi gerakan Islam yang membawa tuntutan agama untuk menegakkan kepimpinan berlandaskan syariat serta mewarisi perjuangan Rasulullah SAW dan para khalifah terdahulu.





























