PAS Kekal Konsisten, Bukan Tak Setia!

410
Haji Hamidi Jusoh

KUALA NERUS – Dakwaan kononnya PAS tidak setia dalam kerjasama politik adalah tidak berasas, sebaliknya parti itu sentiasa konsisten berpegang kepada prinsip perjuangan Islam dan agenda perpaduan ummah.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji Hamidi Jusoh berkata, apa sahaja bentuk kerjasama yang dijalinkan PAS hanyalah sebagai jalan untuk memartabatkan Islam serta memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

“Kalau dikatakan PAS khianat, sejarah membuktikan sebaliknya. PAS tetap setia dengan perjanjian sehingga ke penghujung, walaupun kadang-kadang pihak lain yang berpaling tadah,” katanya melalui satu kenyataan, di media sosialnya, semalam

Beliau menegaskan, tuduhan kononnya PAS tamak kuasa juga tidak tepat kerana PAS pernah menerima agihan kerusi kecil dan menjadi pembangkang dengan jumlah wakil yang sedikit, namun tetap istiqamah membawa suara rakyat.

“Kalau betul PAS tamak, tentu sejak dulu lagi parti ini menuntut lebih banyak kerusi dan jawatan dalam setiap gabungan. Bahkan, bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri sendiri pernah mengiktiraf sikap PAS yang tidak gila kuasa,” ujarnya.

Menurut Hamidi, kesetiaan PAS lahir daripada tanggungjawab sebagai sebuah parti Islam yang melihat perjuangan sebagai amanah, bukan semata-mata perebutan kuasa dunia.

“Kerana prinsip, PAS sanggup menolak tawaran menyertai kerajaan perpaduan walaupun boleh memperoleh jawatan penting di peringkat pusat. Ini membuktikan perjuangan PAS bukan soal kuasa, tetapi dakwah dan perpaduan ummah,” jelasnya.

Justeru, katanya, kerjasama politik PAS adalah strategi dakwah dan pentadbiran untuk menjaga kepentingan rakyat, dengan syarat pihak lain menghormati prinsip perjuangan Islam.

“No DAP. Titik,” tegasnya.