PAS Kedah Sumbang RM30,000 Sebagai Tanda Balas Budi

92

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah (PAS Kedah) menyumbang sebanyak RM30,000 sebagai tanda balas budi bagi operasi pasca banjir di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata sumbangan demikian sebagai tanda solidariti bersama kepimpinan PAS Terengganu dalam menghadapi bencana.

“Kami (PAS Kedah) turut berkongsi simpati terhadap bencana banjir Monsun Timur Laut yang melanda negeri ini.

“Apabila mendengar berita banjir, ia menjadi tanggungjawab kami sebagaimana sahabat pimpinan Terengganu rasa tanggungjawab membantu Kedah ketika diuji dengan beberapa kali banjir.

“Diharapkan bantuan ini menjadi tanda keprihatinan dan kasih sayang ke arah kesatuan hati yang mampu meneruskan agenda perjuangan in,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Khidmat Malaysia Kedah di Kediaman Seri Iman, di sini semalam.

Terengganu dan Kelantan menhadapi banjir besar apabila hampir seluruh daerah ditenggelami air menyebabkan berlakunya korban banjir dan kemusnahan harta benda.