PAS Kecewa Perkembangan Projek Littoral Combatant Ship (LCS)

174

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu melahirkan rasa amat kecewa tentang perkembangan projek Littoral Combatant Ship (LCS) yang telah didedahkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Pesuruhjayanya YB Senator Dato’ Haji Husain Awang berkata, setelah hampir dua tahun pihak PAC melakukan siasatan, ketirisan dalam projek LCS sepatutnya tidak wajar berlaku kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Malah, nama baik negara juga tercemar dengan amalan tadbir urus yang teruk disebabkan negara telah menanggung kerugian berbilion ringgit melibatkan dana awam.

“Kerajaan perlu bertegas dalam membuat sebarang keputusan bagi menyelesaikan isu kepincangan dalam projek LCS.” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikan dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Menurutnya, dalam laporan tersebut, projek LCS telah diberikan oleh kerajaan secara rundingan terus kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) dengan bayaran sebanyak RM 6.083 bilion.

Namun begitu, sehingga Ogos 2022 bukan sahaja lima buah kapal LCS gagal diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut jadual, bahkan satu kapal LCS pun belum disiapkan lagi.

Malah kata beliau, nama baik negara juga tercemar dengan amalan tadbir urus yang teruk disebabkan negara telah menanggung kerugian berbilion ringgit melibatkan dana awam.

Justeru katanya, kerajaan perlu bertegas dalam membuat sebarang keputusan bagi menyelesaikan isu kepincangan dalam projek LCS.

“Saya mencadangkan pihak kerajaan perlu memastikan individu yang terlibat dalam penyelewengan skandal projek LCS perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa ada segmen “dua darjat” secepat mungkin.

“Ketegasan ini yang rakyat mahukan agar mana-mana pihak yang terlibat benar-benar dihukum demi memastikan ketegasan kerajaan dalam membasmi rasuah.” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mahu agar kerajaan memastikan kapal LCS ini siap dibuat dengan dana setimpal yang telah disalurkan iaitu sebanyak RM6.083 bilion dengan tiada sebarang bayaran lanjut dibuat.

“Projek besar ini melibatkan duit rakyat dan kerajaan harus amanah dan memastikan projek ini diteruskan dalam memastikan kapal LCS dapat disiapkan kerana berbilion ringgit telah dilaburkan dalam projek ini.

“Di samping itu, amaran tegas perlu diberikan kepada BNS dalam memastikan projek kapal LCS siap mengikut standard reka bentuk dan kehendak yang dipersetujui oleh TLDM.” tambah beliau.