Oleh : KAM
MARANG – PAS Terengganu menjangka Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kemungkinan boleh berlaku pada penghujung bulan Mac 2018 sekaligus menepati ‘Countdown 100 Hari PRU14’.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata ‘Countdown’, iaitu tempoh kiraan 100 hari yang dilancarkan ini akan berakhir pada Tarikh 26 Mac
Oleh itu, sekiranya bertepatan dengan masa tersebut, PAS berada dalam keadaan politik paling selesa pilihan raya kali ini, berbanding parti-parti lain.
“Ini adalah Nujum Politik dan bukannya Nujum Pak Belalang. Nujum Politik boleh dibuat oleh sesiapa sahaja. Apa yang pasti pilihan raya (PRU14) tetap akan berlaku bila sampai masa.
“Bermula hari ini 16 Disember 2017 hingga 26 Mac 2018, cukup 100 hari yang kita (PAS) namakan countdown.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ‘Countdown 100 Hari PRU14’, di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS mengingatkan ahli parti tentang sejarah silam PAS.
Kata Dato’ Husain, pada pilihan raya tahun 1969 lalu PAS gagal memerintah Terengganu hanya kerana kekurangan dua kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi.
“Pilihan raya 1969, DUN Terengganu ada 24 ketika itu. Kita (PAS) menang 11 kerusi, Umno dan Perikatan menang 13 kerusi. Dua kerusi yang patut menang gagal iaitu Besut dan Setiu.


Sehubungan itu, katanya persiapan PAS Terengganu kali ini lebih tersusun dan terarah dengan prasarana bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Menurutnya, Countdown 100 Hari itu hasil dari lawatan beliau ke DUN-DUN sejak diamanahkan menerajui Pesuruhjaya PAS Terengganu.
“Saya telah lawati 28 Dun dan ada empat Dun lagi yang belum selesai iaitu Dun Batu Burok dan Wakaf Mempelam di Kuala Terengganu manakala Dun Rhu Rendang dan Alor Limbat di Marang.


“Hari ini, kita (PAS) panggil semua (jentera) cawangan-cawangan dan Unit Peti Undi (UPU) untuk dengan ‘amanat’ dari Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” jelasnya.
Pada program itu, para peserta didedahkan dengan pembentangan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) oleh Dr Zuhdi Marzuki dan pembentangan Dokumen Hijau oleh Ustaz Zaharuddin Muhamad.
Manakala, pembentangan 15 Tawaran Awal Manifesto PRU14 PAS Terengganu disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak dan PAS Kawasan Setiu dianugerahkan pemenang pendaftaran keahlian baharu PAS teramai 2017.





























