KUALA TERENGGANU – PAS menggesa agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) duduk semeja dengan Perikatan Nasional (PN) bagi meneliti semula memorandum persefahaman (MoU) perdagangan yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, walaupun MoU tersebut tidak bersifat mengikat seperti memorandum perjanjian (MOA), namun kedudukan Amerika sebagai kuasa besar menjadikan sebarang perubahan terhadap perjanjian itu amat sukar dilakukan.
“Perjanjian dengan Amerika Syarikat ini adalah MoU, bukan MOA. MoU ini sebenarnya tidak mengikat, tetapi kerana dibuat dengan kuasa besar, ia jadi susah untuk keluar. Bayangkan, kalau nak keluar nanti, banyak kesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pads sesi soal jawab, Munaqasyah Ucapan Presiden PAS, di Kompleks At-Taqwa, di sini, hari ini.
Menurut beliau, dalam hal melibatkan dasar perdagangan dan ekonomi, sewajarnya semua pihak yang berkaitan dibawa berbincang bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.


“Kita cadangkan supaya MITI duduk semeja dengan PN untuk bincang balik dengan Amerika Syarikat. Bila semua pihak terlibat, keputusan yang dibuat akan lebih seimbang dan berpihak kepada rakyat,” jelas Ahli Parlimen Jerantut itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara tumpuan penting ialah usaha mengurangkan hutang negara serta memperkukuh sektor pertanian yang kini mencatat nilai import melebihi RM100 bilion setahun.
“Pertanian bukan seperti minyak dan gas. Kita kena tambah sumber daging dan hasil padi tempatan supaya dapat kurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.
Ir. Khairil Nizam turut memaklumkan bahawa bengkel khas akan diadakan hujung minggu ini bagi meneliti secara terperinci isi kandungan MOU berkenaan sebelum hasil kajian tersebut dibawa kepada kerajaan dan dimaklumkan kepada rakyat.































