PAS Besut Sedia Rampas Kerusi Parlimen

802

KUALA TERENGGANU – PAS Besut menyatakan kesediaan mengerah seluruh jentera bersama parti gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila pucuk pimpinan memutuskan calon daripada parti itu akan bertanding di kawasan tersebut.

Yang DiPertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, anggota parti menerima mana-mana individu yang bakal diputuskan kelak.

“Siapapun yang diputuskan oleh pimpinan Insya-Allah akan diterima oleh anggota di bawah atas dasar kepatuhan juga ketaatan terhadap parti.

“Alhamdulillah jentera kita semakin bersemangat apabila pimpinan PN meletakkan calon dari PAS bagi bertanding di Besut,” katanya ketika dihubungi tadi.

Sebelum daripada itu, PN Terengganu mencapai persetujuan bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 apabila rundingan pembahagian kerusi selesai.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Ustaz Husain Awang, berkata keputusan yang dicapai adalah hasil perbincangan antara kepimpinan kedua-dua parti.

“Persetujuan yang dicapai merupakan perbincangan bersama penilaian dan perbandingan dalam aspek kekuatan serta sebaliknya.

“Keputusan dilakukan dia atas asas untuk memperteguh parti di peringkat negeri, maka perlu kepada PAS bertanding,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam Majlis Perasmian Markas Induk PRU-15 dan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Kuala Terengganu, di Wisma Ko-Khidmat, di sini semalam.

Beliau turut berkata, parti gabungan (PN) BERSATU negeri ini tidak akan memboikot keputusan berkenaan, sebaliknya akan memberikan sokongan penuh terhadap calon yang bertanding.

“Setakat ini tidak ada tanda-tanda ke arah memboikot antara kedua-dua pihak, saya yakin bahawa BERSATU akan terus bersama dengan kita.

“Mereka telah memberi komitmen untuk bersama-sama dengan Pas bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat persekutuan,” tambahnya.

Ketika ditanya, mengenai calon di Kuala Nerus, beliau memberi bayangan bahawa calon anak tempatan yang boleh diterima dan diyakini menang akan diumumkan nanti.