PAS Besut Kecam Tindakan Melampau Hina Ar-Rasul

176

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Besut mengecam tindakan melampau menghina junjungan besar Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua ahli politik kanan parti pemerintah India Bharatiya Janata Party (BJP).

Setiausahanya Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, perbuatan Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal adalah satu tindakan yang menyeru kepada ekstremisme dan menyebarkan Islamofobia.

“Tindakan yang amat tidak bertanggungjawab ini boleh mencetuskan perseteruan antara agama dan pergolakan yang pastinya tidak baik buat kedua-dua negara.” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas tunjuk perasaan secara aman anjuran PAS kawasan tersebut semalam.

Katanya, umat Islam di India seringkali dizalimi kerana polisi-polisi yang berat sebelah, perkara-perkara sebegini sepatutnya tidak lagi berlaku pada era intelektual dan zaman ini.

“semua orang tahu kedamaian dan keharmonian antara agama lebih menguntungkan buat sesebuah negara.” jelasnya.

Menurut beliau, Rasulullah SAW merupakan insan yang paling dicintai dan pemimpin umat Islam, maka wajib kita sebagai umat Islam mempertahankan Baginda ketika Baginda dihina.

Justeru PAS Kawasan Besut menyeru umat Islam seluruhnya untuk bersatu hati dalam menzahirkan bantahan terhadap penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Benar, Islam adalah agama kedamaian namun jangan sesekali hina nabi kami dan agama kami.” tambahnya