Oleh :Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Parti Islam SeMalaysia(PAS) Kawasan Dungun menerusi Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar(LATAS) dan PAS Cawangan Teluk Bidara telah berjaya merealisasikan wakaf baharu yang sekian lama dinanti-nantikan oleh para nelayan di kampung itu.
Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berharap wakaf yang menelan belanja RM3000 dapat memberi keselesaan dan memudahkan nelayan di komuniti itu ketika membuat persiapan sebelum turun dan selepas pulang daripada menangkap ikan.
“Semoga dapat dimanafaatkan sepenuhnya apa yang penduduk di sini telah usahakan dan insyaAllah akan meningkatkan lagi hasil tangkapan seharian,” ujarnya.
Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Wakaf Baharu Teluk Bidara di sini pada 1 November.


Di majlis itu juga beliau menyampaikan satu unit lampu ‘sportlight LED’ kepada cawangan berkenaan untuk dipasang di wakaf itu.
Sempena majlis itu, seramai 30 orang telah menerima sumbangan barang dapur dan Pengarah Majlis Tindakan DUN Rantau Abang, Alias Harun juga turut sama hadir.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar(LATAS), Zakaria Tahir memuji PAS Cawangan Teluk Bidara yang banyak membantu menjayakan pembinaan wakaf ini secara gotong royong.
“PAS Kawasan Dungun mengharapkan usaha yang murni ini mendapat keberkatan rezeki dari Allah Taala,” katanya.