Pantai Tok Jembal, 9 Mei 2018 Serta Mitos Kerajaan Sepenggal

137

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Terengganu menggamit kepulangan jutaan anak perantau dimusim perayaan era endemik yang cukup luar biasa kali ini. Dalam suasana perayaan yang bersulam ukhuwwah, lip lap lampu raya yang telah dua tahun berehat,kemacetan tahap dewa, maka tahun ini seperti meledak obsesi untuk meraikan eidul fitri bagi seluruh rakyat Terengganu dan anak -anak perantau. Jalanraya sesak tak bersahabat, bazar ramadhan ya ampun dengan pesta pora makanan, bahkan sekitar jambatan angkat menjadi lokasi iftar yang penuh pesona terutama minggu akhir ramadha . Segalanya meriah dengan dentuman mercun dalam suasana demam politik pra PRU 15 yang resah -gelisah .

Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat. Murabbi dan ideologue PAS berkampung di Rusila, Tuan Guru Ayah Chik istiqomah mencerahkan ummat daripada mihrab masjid Rusila yang berusia ratusan tahun itu. Dalam tiga pilihanraya Umum , PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959 ,1999 dan 2018 . PERIKATAN dan selanjutnya BN dikejar rapat oleh PAS dalam Pilihanraya tahun 1969 dan 2013, yang hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah. Sengit persaingan kuasa dua buah parpol ini, sehingga Pengerusi UMNO Terengganu DS Mad Said daripada awal menolak Muafakat Nasional dengan pelbagai alasan.

PAS Terengganu tidak terikut rentak permainan pemimpin utama UMNO negeri itu yang kelihatan galak untuk bertempur, segala langkah sembah dan urusan pemuafakatan diserahkan kepada pihak PAS Pusat. Pengalaman bergulat dimedan siasah dalam tempoh panjang tujuh dekad mematangkan PAS , penyakit angin tohor orang gila kuasa jangan dicontohi. Bimbang tak sempat ” langkah sembah” masuk gelanggang tersembam baham tanah!

Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, dimana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong , Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam.

Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, marak berkembang memamah kejahilan warga, penubuhan cawangan PAS menjadi pantas berkembang , paralel dengan kegiatan jihad ta’lim. Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang Kachong pada tahun 1928. Ulama yang berjuang , penjara dan dibuang negeri bukanlah perkara yang baru dalam kamus kehidupan rakyat Terengganu.

Negeri yang subur dengan jihad ta’lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam. Terengganu juga pernah disorot oleh majalah Asiaweek (1984) sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk diluar musim pilihanraya.

Dengan latarbelakang sosiopolitik dan bermuarakan sejarah perjuangan Islam di Terengganu inilah maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihanraya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli , Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.

Terengganu dalam dekad 1980an ,digegar dengan “fenomena Haji Hadi” yang menyaksikan simbahan semangat kebangkitan Islam yang luarbiasa. Kuliah masjid Rusila menggamit puluhan ribu pendengar terutama anak-anak muda peserta kebangkitan Islam. Bagi mengekang pengaruh PAS di Terengganu dalam dasawarsa 80an, regim UMNO BN telah mengenakan tangkapan ISA kepada tokoh -tokoh PAS di negeri ini termasuk Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Omar Khalid, Ustaz Stimat Jusuh. Kezaliman BN di Terengganu yang tak mampu dilupakan , antaranya perobohan Institut Berakan, perobohan masjid masjid Bujal kemaman, rampasan tanah-tanah rakyat pasca 2004.

Kemenangan BN dalam Pilihanraya 2013 sangatlah rapuh, dengan kelebihan dua kerusi. Malah banyak DUN yang BN hanya menang dibawah seribu undi serta kekalahan mereka agak menyeluruh di saluran tiga dan saliran empat. PAS Terengganu tanpa lelah terus menggerakkan jentera serta pelbagai program pemerkasaan parti dan usaha menawan hati rakyat. Program skala besar seperti HARAP terus menjelajah setiap daerah dan merengkuh sokongan rakyat pelbagai strata sosial.

Antara usaha bagi menggempur kesedaran politik rakyat negeri penyu bertelur ini ialah Himpunan 200k , FASTAQIM 2.0 adalah usaha menjana semangat para amilin serta memugar energi penyokong PAS sebelum Pilihanraya ke 14. Pantai Tok Jembal walaupun dengan deruan angin keras berjaya menyampaikan mesej bahawa PAS bersiap untuk menawan Terengganu. Gelombang himpunan skala mega ini membuahkan hasil apabila tanggal 9 Mei 2018 , BN tersungkur di Terengganu.

PAS mengambil alih Wisma Darul Iman, berusaha semampu mungkin melaksanakan janji dalam manifesto PRU, merakyatkan ilmu , merambah pelbagai program kebajikan untuk rakyat. Pandemik kovid 19 merencatkan banyak program parti , namun bantuan tetap sampai ke segenap lapisan masyarakat sehinggalah musuh politik PAS hanya mampu menembak curi daripada jauh isu seperti masalah air dimusim perayaan, isu sampah musim perayaan, kehabisan stok minyak Ron 95 musim perayaan.

Pasca eidul fitri ini, kelihatan galak serangan laskar siber musuh politik PAS terhadap kerajaan negeri Terengganu. Semua perkara ingin dipolitikkan untuk mengambarkan kegagalan memerintah, isu-isu remeh cuba diarusperdanakan sehingga menjadi senjata boomerang yang membaham tengkuk mereka sendiri,contohnya isu kesesakan trafik dimusim perayaan, isu projek-projek sakit seluruh negeri. Seluruh organisasi PAS perlu digerakkan dengan segera bagi mematikan mitos kerajaan sepenggal yang diratib oleh musuh politik PAS. Selamat menyambut HUT keempat pemerintahan PAS Terengganu. Dirgahayu Terengganu … Maju, Berkat, Sejahtera!

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)