‘Pakatan Nasional’-PAS Tidak Gopoh

926

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU: – Pada dasarnya PAS menyokong sebarang bentuk perubahan yang membolehkan tampuk pemerintahan negara ini didominasikan semula oleh Melayu Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, apa yang penting perubahan ke arah yang lebih positif serta tidak mengulangi kelemahan pemerintahan lalu.

Namun, katanya pendirian parti itu menyokong Pakatan Nasional adalah masih terlalu awal dan perlu kepada penelitian satu persatu.

“Ya, pada dasarnya begitu, mesti Melayu Islam mengambil tampuk (pemerintahan) ini semula. Apa yang penting ialah perubahan ke arah positif, itu perlu dilakukan. Cuma kita tidak boleh gopoh dalam membuat perubahan, perlu dikaji, dilihat dan dipandang dengan cara yang lebih teliti.

“Kepada kita (PAS) menyelesaikan kelemahan-kelemahan yang berlaku dan jangan mengulangi kelemahan yang sama, tak boleh. Dengan sebab itu, perlu dirancang dengan sebaik-baiknya.

“Masih terlalu awal untuk kita (PAS) nak membuat satu keputusan, perlu diteliti satu persatu. Langkah awal kita ialah mengadakan Muafakat Nasional untuk menyatukan kuasa politik Melayu Islam yang paling utama,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Namun, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, dalam muafakat nasional itu PAS tidak meminggirkan masyarakat majmuk berbilang kaum yang perlu diambil kira.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara hari ini sangat rapuh dan tidak konsisten.

“Tapi, kuasa politik Melayu Islam mesti dominasikan pemerintahan. Kita (PAS) lihat terdapat kecanggungan dalam Pakatan Harapan pada hari ini. Dalam keadaan celaru, satu pakatan yang sangat rapuh.

“Bahkan, jadi tidak konsisten. Nampak begitu kerana dia bermula dengan keadaan yang sangat rapuh. Bila menghadapi pilihan raya (PRU14) dengan masing-masing ada manifesto masing-masing, bukan bersama (sepakat).

“Ada janji masing-masing dan yang paling banyak berjanji PKR (Parti KeADILan Rakyat) dengan DAP. PAN (Parti Amanah Negara) ini sebahagian dari DAP, janji sama. Terang-terang, saya sebut begitulah,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan janji-janji yang ditawarkan oleh PH pada pilihan raya lalu terlalu ‘ekstrem’ dan tidak mampu ditunaikan.

“Janji-janji pula janji yang terlalu ‘ekstrem’ dan tidak boleh hendak dibuat (tunai). Apa yang berlaku, mengulangi kelemahan-kelemahan kerajaan dahulu (Barisan Nasional).

“Suatu reformasi yang diwar-warkan itu tidak ada, macam ‘tikus baiki labu’. Itu dari segi zahirlah tapi hakikat kita (rakyat) melihat kuasa politik orang Melayu Islam terancam kerana Pakatan Harapan, didominasi oleh bukan Islam.

“Sedangkan, orang Islam 69 peratus jumlah penduduk negara. Tiba-tiba mereka menguasai lebih daripada majoriti dalam kerajaan. Itu yang berlaku, walaupun Perdana Menteri berusaha untuk dapat sokongan tetapi sokongan yang (dapat) tidak begitu kukuh, tidak kuat,” jelasnya.

Menurut Dato’ Seri Abdul Hadi, tugas seorang Perdana Menteri memerlukan suatu dukungan parti yang kuat bagi mentadbir negara.