Pabila Janji Dipungkiri

242

Dalam politik, janji adalah sesuatu yang amat penting. Ini adalah kerana dalam dunia politik, ada sahaja perkara yang berlawanan antara satu sama lain. Bagi mendapatkan persamaan atau mengurangkan perbezaan-perbezaan itu, kalau secara zalim, satu pihak akan memaksa pihak yang satu lagi menerima sahaja. Dan janji pula adalah salah satu cara yang paling lembut, berkesan dan memuaskan hati semua pihak.

Hasil daripada janji ini, terhasillah dua idea yang saling dipersetujui, bertujuan menghasilkan tujuan yang lebih baik, yang juga dikenali dengan ‘win-win situation’. Banyak jenis janji dalam politik ini. Antaranya ialah janji ahli untuk mentaati pimpinan yang dipanggil janji setia. Ada juga janji pihak yang kalah perang untuk mengaku kekalahan mereka. Tidak lupa juga janji manifesto calon krpada rakyat.

PAS dengan asas pembentukan parti yang berteraskan Islam, pernah menjalinkan perjanjian dengan parti-parti yang tidak mengasaskan dasar mereka dengan Islam. Kecuali Umno yang kemudiannya telah membuat usul dalam perlembagaan mereka untuk meletakkan Islam sebagai agenda utama perjuangan mereka. Manakala parti-parti yang lain yang pernah bersama PAS, tidak menjadikan Islam sebagai asas. Bila berjanji dengan PAS, mestilah untuk bawa untung kepada Islam.

Ada yang melanggari persepakatan untuk menentang musuh yang sama, kemudian mereka berpaling tadah pula dan menyertai kumpulan musuh. Kadang kala mereka menang bersama musuh dan tidak kurang juga mereka tenggelam bersama musuh. Sudah banyak contoh yang dapat kita lihat dalam sejarah. Jelas bahawa janji-janji ini amat penting dan juga ia sebagai maruah kepada seseorang itu.

DS Najib dahulunya amat buruk di mata rakyat. Ditambah lagi dengan adanya isteri beliau, menaikkan lagi meluat mata yang memerhati. Beliau kemudiannya mengambil jalan merapatkan hubungan dengan PAS yang juga tidak sehaluan dengan PH. PAS tidaklah dapat menghilangkan pandangan benci orang terhadap Najib. Sebaliknya PAS pula dituduh sebagai pendukung kezaliman BN di bawah Najib. Walaupun tidak bergabung dengan BN, PAS juga menerima nasib yang sama, kalah dalam PRU. Terlalu besar beban Najib.

Kemudian, setelah melihat peluang besar yang ada jika PAS bergabung dengan Umno, PH akan dapat dikalahkan, maka PAS dan Umno mengikat satu perjanjian, dinamakan piagam. Kemudian keduanya pula berjanji dengan Bersatu untuk menyokong PN dan hasilnya, PH kalah sebelum PRU15 hadir. Namun manusia, sememangnya begitu, samada mahukan lebih, atau mula lupa pada janji bila sudah menang.

Dalam beberapa siri kempen PRK, Najib mula mendapat tempo. Simpati rakyat mula bersama beliau. Ditambah pula dengan kebencian terhadap PH yang ada di dalamnya DAP yang berjaya ditonjolkan sebagai ‘taiko’ oleh lawan politiknya. Najib kemudiannya dipercayai difitnah sehingga beliau berani bersumpah bahawa beliau tidak membunuh Altantuya. Najib mengekalkan rentaknya dan terus mendapat sambutan rakyat.

Namun, panas itu, tidak sampai ke petang. Najib didapati bersalah di mahkamah bagi kes SRC, manakala Zahid dan beberapa pimpinan Umno pula sedang menunggu giliran. Dan, terjadilah perjanjian atas perjanjian belakang tabir yang lain yang kemudiannya didedahkan oleh pihak ketiga, iaitu usaha sedang berjalan bagi mengangkat DS Anwar Ibrahim sebagai PM yang baharu. Janji dengan Bersatu dahulu, sudah dikesampingkan. Walau akan mengakibatkan kerajaan bertukar tangan kepada kumpulan yang mereka benci dahulu.

Sebelum terdedah, PAS turut diserang iaitu dengan sindiran yang PAS bermain dalam dua kolam. Sedangkan kolam-kolam itu, sudah dimaklumi keberadaan PAS di dalamnya sebelum ini. Tetapi usaha menekan PAS dengan tuduhan itu, kurang berhasil kerana rakyat sudah bijak dan maklumat hanya di hujung jari sahaja bagi mendapat kebenaran. Jadi PAS masih dikekalkan dalam MN. Mereka berpusing pula dengan isu KWSP, untuk dilihat sebagai wira.

Sudahnya nama yang dicipta Najib dan Zahid melalui isu KWSP, mengalahkan PH, persepakatan dengan PAS dan Bersatu yang disukai rakyat, kini kembali dikutuk kerana menyokong Anwar. Ia tidak lain kerana kegagalan mereka menunaikan janji-janji. Sejarah telah kerap mencetak kisah bagaimana jika seseorang itu gagal dalam melangsaikan janji mereka, merekalah yang akan kecundang. Jika mereka berjayapun, hidup mereka tidaklah bahagia.

PAS sudah banyak dikhianati rakan sedari dahulu. Janji setia dari ahli sendiri, kemudian mereka menyertai wadah lain yang kononnya lebih Islamik, rahmatan lil alamin katanya. Mereka menang seketika, kemudian beransur-ansur dilihat orang sikap sebenar mereka yang gagal menonjolkan Islamnya mereka, malah lebih dilihat menjadi khadam kepada parti yang bukan Islam.

Janji parti bukan Islam, bersetuju untuk tidak bersetuju dengan dasar PAS, dihanyutkan begitu sahaja oleh mereka. Nafsu serakah mereka menggelegak ketika melihat peluang menang di Putrajaya. PAS lalu dianggap sebagai beban, pengacau yang mesti mereka buang. Akhirnya si pemungkir janji itu dibenci oleh sekelian rakyat. Sekarang mereka dianggap liabiliti, lebih teruk daripada Umno kena dahulu.

Hanya fitnah kepada PAS bagi memberikan gambaran jahatnya PAS kepada rakyat. Betapa teguhnya Presiden PAS mengarahkan ahli-ahli membantu rakan gabungan dalam setiap kali PRU. Walau dianggap beban oleh ahli, namun Presiden menegaskan itu adalah rakan kita. Wajib kita menolong. Dengan kepayahan, ahli menelan arahan.

PAS diakui jemaah yang benar-benar menjaga janji dan setia kawan. Itulah buah manis hasil dari jerih perit ahli-ahli kerana menurut kata Presiden walau dalam menjaga hak rakan. Dan mereka yang berkhianat dengan janji-janji mereka pula, dilihat sebagai golongan yang tidak boleh dipercayai. Nama mereka menjadi busuk. Maka ahli-ahli PAS jangan merasa gundah gulana jika rakan kita berkhianat. Kita tetap akan menang, jika tidak di dunia, pasti di akhirat. Asalkan kita teguh dengan janji kita.

Janji mereka dahulu mahu mengutamakan rakyat, tetapi saban hari meminta PRU ketika Covid 19 masih mengganas. Pabila janji mereka pungkiri, adakah lagi kepercayaan rakyat terhadap mereka? Adakah merasa selesa dan rakyat sudah menyayangi mereka kembali dengan rekod dahulu? Rakan baharu mereka juga telah membuktikan janji-janji mereka ketika menang, semuanya ke laut. Masih mahu bersama mereka? Atau benar wujud perjanjian yang akan menajiskan sistem keadilan negara?

Mohd Nasir Abdullah
10 Januari 2021

*Gambar dari FMT