Oleh : MNA
MARANG – Diwaktu rakan seangkatan memilih untuk berehat bersama anak cucu, as-Sabiqun atau ‘orang lama’ PAS, masih memerah tenaga dan menyumbang buah fikiran bagi memastikan kemenangan PAS di Terengganu.
Rata-rata mereka yang ditemui masih bersemangat dan sebahagiannya masih lagi bergerak dan berjawatan dalam parti walaupun sudah menginjak usia emas.
Seorang pesara guru, Ghazali Che Omar (Gambar bawah) daripada Wakaf Tembesu, Kuala Nerus yang sudah bersama dengan PAS semenjak awal 80-an.
Beliau yang ditemui berkata, sangat yakin PAS akan terus kukuh dengan adanya gabungan baharu, lama dan berpengalaman di dalam pelbagai bidang.


“InsyaAllah, saya dah beritahu, walau empat lima calonpun, hati kita mesti bulan (PAS), tak kiralah banyak manapun (calon yang bertanding).
“saya dah banyak buat kempen di kampung, sudah tidak ada balasan (hujah) daripada orang ramai, tidak macam dahulu yang sentiasa ada jawapan,” katanya.
Cikgu Ghazali berkata program Himpunan as-Sabiqun Negeri Terengganu yang diadakan, sangat baik dan menunjukkan sifat kecaknaan PAS kepada golongan ‘veteran’.


Sehubunga itu, Cikgu Ghazali yang juga Ketua Cawangan PAS Wakaf Tembesu berkata, beliau turut membawa isteri beliau untuk berjuang bersama PAS.
Bahkan katanya, beliau membeli sebuah kereta dan menyediakan perbelanjaan bagi mengongkosi khidmat isterinya kepada rakyat, dari wang persaraannya.
Manakala Raja Harun Raja Abdullah, 65, (Gambar bawah) daripada Air Putih Kemaman pula meluahkan rasa gembira kerana dapat hadir dalam program tersebut.
Katanya, menghargai orang lama dan memanggil dalam satu prpgram khusus, kepada beliau sangat penting bagi PAS menjaga ikatan dengan orang lama.


Katanya, beliau masih berkerja dengan parti dan dalam ‘proses’ secara perlahan-lahan menyerahkan tugasan beliau kepada penggantinya.
Mantan JSR Bukit Mentok yang telah bersama dengan PAS lebih 35 tahun itu, turut berpesan kepada golongan muda agar berkerja dengan lebih kuat.
Raja Harun menegaskan, jangan ada berpaling tadah sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian ahli PAS tahun 2015 lalu.
“Ikut macam Tuan Guru pesan tadi, kalau boleh kita nak menang di sini, sampai ke syurga sama-sama, jangan terikut dengan rentak orang,” pesan beliau.
Majlis dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan turut disertai oleh Pengerusi as-Sabiqun PAS Pusat, Haji Subky Latif, Pesuruhjaya Pas Terengganu Dato’ Husein Awang dan juga Pengerusi as-Sabiqun Terengganu Dr Muhammad Abdullah.































