Oleh : Wan Sukairi Wan Abdullah
Assalamualaikum semua….
Selepas solat isya’ di surau lama Kampung Durian Burong, saya ke bandaraya KT untuk beberapa urusan. Sewaktu saya melangkah masuk ke sebuah bank, kelihatan seorang ibu muda bertudung lingkungan 30-an sedang menyusukan bayinya, duduk di sebelahnya anaknya, perempuan yang saya agak berumur 7 atau 8 tahun. Kelihatan juga seorang lagi kanak- kanak lelaki berusia lingkungan 4 atau 5 tahun sedang bermain lompat lompat. Pakaian mereka sangat lusuh sekali. Mereka semua duduk atas lantai sebelah pintu masuk bank itu.
Dari dalam bank, saya perhatikan gelagat mereka. Timbul rasa ingin tahu, mengapa mereka berada di situ ? Di mana suami ibu muda itu dan ayah kepada anak anak mereka ? Di mana kaum keluarga mereka ? Mengapa tiada orang menghiraukan mereka ?
Selesai urusan, saya keluar dari bank itu dan terus menuju ke arah 4 beranak malang itu. Saya hulurkan kepada anak perempuan itu beberapa keping wang kertas. Saya terus bertanya kepada ibu muda itu,
“Saya perlu sikit duit untuk bayar sewa bilik yang saya dan anak anak tinggal untuk sementara,” jawabnya lancar..
“Mana suami?,”Tanya saya lagi
“Kami tinggal asing, kami ada masaalah,”ujarnya lagi.
“Anak ada berapa orang?,”tanya saya
“5 orang, 2 orang lagi saya tinggalkan dalam bilik, kawan saya jagakan ” jawabnya sambil melihat lihat anaknya yang kecil bermain.
“Kerja apa,”? Soal saya lagi..
“Tak kerja, cuma saya ada tolong nyonya bersihkan lantai hotel bajet, itu saja.”
“Makan minum awak dan anak anak macamana?,” Soal saya lagi.
“Saya masak ala kadar ajee…”
Selepas saya bertanya beberapa soalan lagi termasuk tempat tinggalnya jika saya mahu menghubunginya, saya terus meninggalkan keluarga malang itu.
Saya masuk ke dalam kereta sambil memerhatikan mereka 4 beranak. Sedang saya termenung apa yang perlu saya lakukan untuk membantu mereka, tiba tiba saya terasa seseorang sedang berada di tepi pintu kereta saya mahu berkata sesuatu.
Saya turunkan cermin kereta, kelihatan seorang lelaki berusia lingkungan 50 tahun, tangannya cacat. Belum sempat saya berkata apa apa, terus dia berkata kepada saya


“Encik, saya nok makan, saya lapar, minta duit sikit…”
Saya terus menghulurkan sekeping RM kepadanya.
“Terimakasih encik, saya doakan encik murah rezeqi,” katanya dengan nada suara tersekat sekat dan terus berlalu…
“aminnnn” balas saya…
Saya terus termenung….apa hikmat yang Allah mahu tunjukkan kepada saya dengan dua kejadian yang berlaku dalam masa singkat ?
Sesungguhnya saya sangat sedih dengan peristiwa ini. Saya sedih dengan nasib keluarga malang itu. Saya sedih dengan nasib anak anak yang masih kecil dan perlukan tempat tinggal, makanan yang sesuai dan kasih sayang ibu bapa mereka. Saya sedih dengan nasib pendidikan mereka yang sudah tentu terabai.
Saya sedih dalam keadaan negeri ini yang kaya raya dengan hasil petrolnya, tapi masih ada rakyat yang terabai, tidak dapat makan, tidak terbela kehidupan mereka.
Insyaallah, esok saya akan menghantar pegawai Parlimen Pas Kuala Terengganu untuk menjejaki keluarga malang ini dan membantu mereka sebaik mungkin insyaallah. Semoga nasib anak anak malang dan ibu mereka terbela insyaallah. Moga Allah SWT beri kami kekuatan dan kemampuan untuk menolong mereka.
Amin………



























