Naik Taraf Segera JRTB!

611

KUALA TERENGGANU – Ameerah Malaysia mendesak agar infrastruktur Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dinaiktaraf secara menyeluruh susulan kemalangan tragis yang mengorbankan banyak nyawa termasuk 15 pelajar UPSI, lima hari lalu.

Pengarah Ameerah Malaysia, YB Mardhiyyah Johari berkata, keadaan jalan yang sempit dan tidak sesuai dengan pertambahan jumlah kenderaan perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan, dan tidak memadai dengan hanya kerja-kerja pembaikan bersifat sementara.

“Kami mendesak JRTB dinaiktaraf sepenuhnya dan bukan hanya dibaiki. Jumlah kenderaan semakin bertambah namun jalan masih kekal daif,” jelasnya ketika ditemui selepas program ziarah dua keluarga mangsa nahas tragedi kemalangan maut pelajar UPSI, semalam.

Turut serta menyantuni ialah kepimpinan Ameerah Terengganu Bersama menziarahi keluarga Almarhumah Anis Sofiyya Md Zaidi di Kampung Rahmat, DUN Langkap dan Nur Izzati binti Md Rajmi di Kampung Putera Jaya, DUN Permaisuri.

Katanya, selain menucapkan kata-kata semangat dan sokongan moral, rombongan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Menurutnya, cadangan menaiktaraf jalan berkenaan akan dibawa melalui ahli parlimen PAS dalam sidang Parlimen akan datang sebagai langkah advokasi demi keselamatan rakyat.

Justeru itu, beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan mendoakan agar semua mangsa yang telah meninggal dunia ditempatkan dalam kalangan hambaNya beriman.

“Manakala mangsa yang terselamat diberi kekuatan dan kesembuhan segera serta kembali bersemangat meneruskan pengajian.

“Kami bersedia untuk melaksanakan tindakan susulan sekiranya ada keperluan daripada pihak keluarga mangsa,” tambah beliau lagi.