Teliti Penyelesaian Jangka Masa Panjang Gelandangan

1453

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu akan meneliti langkah terbaik bagi memulihkan gelandangan dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Ketua KHIDMAT Malaysia PAS Terengganu, YB Haji Hanafiah Mat berkata, melalui kajian dibuat, mereka yang berkeliaran di bandar-bandar terutamanya di Kuala Terengganu bukanlah tidak mempunyai rumahtangga sendiri.

“Siasatan telah dibuat, sebenarnya mereka mempunyai rumah di kampung.

“Mereka ini kesepian, kurang kasih sayang keluarga dan tiada tempat berbual mesra serta stress lalu mengambil keputusan menjadi kutu rayau di bandar.

“Adakala Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau tuan-tuan punya restoren beri makan dan mereka boleh bergerak bebas tanpa sekatan dan yang penting hatinya terhibur,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Menurutnya, kerajaan telah menempatkan mereka di beberapa pusat dalam masa PKP bagi memastikan tidak ada dikalangan mereka dijangkiti virus COVID-19.

Kata Hanafiah, sebahagian mereka
ditempatkan di Marang dan yang lainnya di daerah Hulu terengganu.

“Sembilan daripada mereka telah dibawa ke Pusat Pemulihan dan Kebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Marang, termasuk seorang yang disahkan positif dadah (pil kuda).

“Manakala dua orang yang mempunyai penyakit mental telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya.

Justeru itu, beliau akan memantau sejauh mana mereka boleh tinggal di pusat pemulihan Marang sepanjang tempoh tersebut.

“Kalau ok, kita (kerajaan negeri) akan adakan tempat duduk yang selesa kepada mereka,” tambah beliau.