Muslimat Hasilkan Produk ‘Halalan Toyyiban’

103

Oleh : Fatimah Din

MARANG – Muslimat Terengganu berhasrat untuk lahirkan wanita Terengganu yang kreatif dan dapat menghasilkan produk ‘halalan toyyiban'(halal dan baik) di pasaran sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata mereka juga mesti kreatif dari segi sulaman, jahitan, masakan dan sebagainya.

“kerana kita mahu mengangkat wanita Terengganu supaya dikenali, bukan hanya dalam Terengganu sahaja malah di seluruh negara,” jelasnya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Program Demo Pembuatan Satar Ikan, Popia Satar dan Bebola Satar yang berlangsung di Dewan Serbaguna Banggol Tokku Alur Limbat pada Khamis 18 Januari.

Katanya, tujuan diadakan program di bawah Lajnah Ekonomi dan Hartanah itu, supaya dapat melahirkan usahawan kecil, boleh jaya diri, tambah ekonomi keluarga, melebarkan ekonomi rumahtangga dengan menggunakan bahan halal dan toyyiban.

“Program ini melibatkan surirumah, muslimat daripada cawangan dan wanita umum yang berminat untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan pembuatan satar,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pengerusi lajnah berkenaan, Rohani Awang berkata selain demo yang diadakan, program ini juga turut menyediakan ruang kepada para peserta untuk membuka jualan samada dari pihak individu, DUN , cawangan dan sebagainya.

“Kita mengharapkan kerajaan Negeri Terengganu dapat membantu wanita Terengganu dalam bidang usahawan bagi melahirkan produk muslim yang halal dan toyyiba” jelasnya lagi.