Muslimat Dan Orang Muda Perbanyakkan Program ‘Luar Kotak’

18

KUALA NERUS – Muslimat, Ameerah dan Pemuda disaran memperbanyakkan program yang bersifat kreatif dan ‘luar kotak’ bagi menambah minat masyarakat terhadap PAS.

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’raja Dato’ (Dr) Haji Mohd Amar Abdullah berkata, aktiviti berasaskan keugamaan seperti kuliah, usrah dan munajat perlu diteruskan, disamping menggarap pendekatan baharu yang lebih dekat dengan realiti masyarakat.

“Muslimat boleh teruskan program dasar seperti usrah dan kuliah, tapi jangan berhenti di situ saja.

“Buatlah kelas masak, bengkel kekeluargaan, atau program yang mengajar cara membina rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soak jawab, Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa, Kuala Nerus, hari ini.

Menurut beliau, suasana masyarakat hari ini menuntut pendekatan dakwah yang lebih bijak dan menyentuh kehidupan harian terutama dalam mendidik wanita.

Katanya, perluaskan program belia agar memahami peranan masing-masing dalam keluarga serta masyarakat.

“Sekarang ini ada wanita yang tak boleh pegang suami, dan suami pula mahu dilayan seperti raja. Jadi, jangan ikut selera kita semata-mata.

“Kita sebagai orang dakwah kena pelbagaikan cara mendekati masyarakat,” ujarnya Yang Dipertua DUN Kelantan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda dan Muslimat perlu mempunyai pendekatan masing-masing yang sesuai dengan kelompok sasaran mereka bagi memastikan mesej Islam sampai dengan berkesan.