Muslimat Bimbang Hasil REE Berpindah Kepada Pihak Asing

124
To’ Puan Hajah Zarani Othman

KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS Negeri Terengganu bimbang, kesan perjanjian diantara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berkait industri Nadir Bumi (REE), mungkin menyebabkan hasil negeri itu berpindah kepada pihak asing.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, perkara yang hampir sama berlaku ketika penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) sekitar tahun 2009 hingga 2014, mencatakan sejarah, hampir menggadai hasil minyak dan gas di perairan Terengganu.

“Ketika itu, blok pengeluaran minyak di laut hampir dijadikan cagaran kepada pinjaman luar yang besar, sehingga menimbulkan pertikaian dan akhirnya diambil alih oleh kerajaan pusat.

“Bekas Menteri Besar Terengganu sendiri pernah mengesahkan perkara itu,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut beliau, situasi sama berisiko berulang apabila dimaklumkan dalam sidang parlimen, Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan sekatan atau kuota eksport REE ke AS.

“Jika perjanjian seperti ini tidak dikawal dengan betul, hasil REE Terengganu boleh berpindah keluar negara,

“pengurusan dikawal AS dan rakyat hanya menjadi pemerhati. Negeri Terengganu pula kehilangan hak untuk menentukan cara hasil itu diproses dan diagihkan,” ujarnya.

Oleh itu, kata beliau, dasar diputuskan Di Putrajaya perlu selari dengan kepentingan dan kedaulatan negeri, agar rakyat Terengganu akan terjejas dan industri dalam negeri mampu berkembang.

Sebaliknya menurut Hajah Zarani, walaupun dinaklumkan butir perjanjian Malaysia-AS dilukuskan cabinet, tetapi tidak pernah dibincangkan dengan negeri-negeri terbabit.

“akhirnya rakyat hanya akan mendapat sisa pekerjaan bergaji rendah dan negeri kehilangan kekayaan seperti pengalaman pahit urusan petroleum dan hasil banyak ke luar, hanya sedikit manfaat sedikit ke dalam,” katanya.

Justeru itu kata beliau, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menuntut agar hasil gas, minyak dan REE diurus dengan teliti serta berpaksikan hak negeri.

“Sebarang perjanjian dengan pihak asing atau kerajaan pusat mesti dilakukan secara telus dan terbuka kepada rakyat.

“Kerajaan negeri pula perlu dilibatkan dalam menilai semula syarat perjanjian Malaysia-AS supaya tidak menjejaskan kepentingan negeri,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan prinsip sesungguhnya, hasil bumi negeri mesti dikembalikan kepada rakyat negeri itu sendiri.

“Rakyat Terengganu bukan sekadar mahu menjadi saksi kekayaan negeri, tetapi penerima manfaat sebenar.

” Jangan ulang sejarah minyak dan gas yang hampir tergadai dahulu. Hasil bumi Terengganu untuk rakyat Terengganu, bukan untuk diletakkan atas meja pihak luar,” tegasnya.