Lama sudah saya tidak menulis. Kali ini saya ingin menulis sedikit coretan buat seorang rakan baik. Sahabat yang telah pun pergi meninggalkan saya buat selamanya. Arwah tidak pergi sehari dua, tetapi meninggalkan saya, malah kami sahabat-sahabat di DUN Seberang Takir buat selamanya.
Pemergian beliau sangat dirasai oleh kami di sini. Apa tidaknya, arwah seorang yang sangat baik hati, malah tidak pernah menyakiti sesiapa. Seingat saya tidak ada yang saya pernah terasa hati dengannya. Arwah memang cukup baik, malah dengan semua orang.
Ketika berprogram jemaah, saya dikejutkan dengan mesej bertalu-talu di whatsapp mengucapkan takziah. Tanpa saya sangka, arwah Khairul Nizam atau kami kenali sebagai Kailo yang meninggal. Sungguh tak disangka arwah pergi terlalu awal, di usia yang masih muda. Baru saja melepasi tempoh kepemudaan. Kebetulan ketika itu saya berprogram di luar negeri Terengganu, yang tidak memungkinkan saya untuk menziarahi dan mensolatkan jenazahnya sebagai penghormatan terakhir buat seorang yang bergelar teman dan saudara.
Perkenalan kami lewat melalui jemaah. Arwah seorang yang komited dan istiqamah dengan kerja-kerja jemaah. Di mana ada program jemaah, di situlah adanya arwah Kailo. Dari sekecil-kecil program di berbagai peringkat, sehinggalah ke sebesar-besar program.
Ketika beliau sakit suatu masa dahulu, arwah terkena penyakit yang dipanggil sebagai kaki gajah (kaki arwah menjadi sangat besar), arwah terlantar di rumah. Ketika kepulangan saya dari Mesir, saya melawat arwah di rumahnya. Arwah menyatakan kekesalannya kerana tidak dapat turut serta bersama rakan-rakan lain yang berprogram dan bergerak kerja bersama jemaah. Saya nyatakan kepada arwah bahawa beliau mendapat pahala “pencen” sebagaimana orang yang ketika dia sihat dia selalu berjemaah di masjid, maka ketika dia sakit dia tetap mendapat pahala berjemaah, kerana dia tidak hadir ke masjid kerana keuzurannya.
Arwah seorang yang rajin dan kreatif. Masih saya ingat suatu ketika dia pernah meminta saya supaya mengajarkannya editing gambar. Saya dengan berbesar hati mengajarnya Photoshop di PASTI Al-Mawaddah sekadar yang saya mampu. Arwah ketika itu bercita-cita mahu menjadi designer untuk PAS Seberang Takir. Akhirnya Allah makbulkan cita-citanya tetapi melalui jalan yang sedikit berbeza. Arwah ditugaskan sebagai wartawan BuletinOnline Dotnet, laman berita rasmi PAS negeri Terengganu. Arwah mempunyai bakat yang cukup istimewa, terkadang tulisannya sangat menyentuh hati dan perasaan orang yang membacanya.
Walaupun arwah tidaklah belajar tinggi mana, tetapi kefahaman arwah terhadap keperluan berjemaah dan menyertai jemaah Islam cukup hebat. Terkadang saya jadi malu dengan arwah, walaupun saya mempunyai latar belakang pengajian agama, namun arwah jauh meninggalkan saya dalam bab kesungguhan berjuang dan bekerja untuk Islam. Namun begitu, arwah punya dua orang adik lelaki yang bergelar ustaz.
Salah seorangnya adalah imam di salah sebuah masjid di Terengganu. Ustaz Pa yang selalu saya lihat di usrah zon yang diadakan di DUN kami. Seorang lagi Ustaz Hilmi yang kami panggil “abang”, selalu juga nampak beliau dalam beberapa program jemaah. Arwah meninggalkan seorang balu yang baru saja beliau kahwini tahun lepas. Arwah berkahwin agak lewat dan belum sempat dikurniakan cahaya mata.
Begitu cepat arwah meninggalkan kami. Sedang kami masih menagih khidmat beliau di dalam parti. Kepergian beliau adalah suatu kehilangan yang besar buat kami dan jemaah. Apa yang paling mengingatkan saya kepada arwah ialah beliau selalu memanggil saya dengan gelaran Morsi. Terkadang bangga juga apabila arwah memanggil sebegitu, walaupun sebenarnya tidak layak untuk memakai nama sebesar dan sehebat itu. Bila arwah memanggil saya dengan Morsi, saya membalasnya dengan gurauan, “Morsi dalam jjare (penjara) nung!” Arwah membalasnya dengan mengatakan, “tu Morsi Mesir, deme Morsi Malaysia.” Huhuhu.
Apa yang saya harapkan ketika ini hanyalah semoga doa kami didengari oleh Allah, supaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memberikan ganjaran syahid buatnya. Semoga dikau tenang di sana, sahabat. Aku pula bakal menyusulmu nanti.
Sahabatmu,
Muhammad Nasih Ulwan bin Zakaria.