Misi KAMI Merentasi Laut China Selatan

1004

Dengan semangat untuk memaparkan ‘first hand info’ kepada para pembaca, laut yang luas terbentang hanyalah pemisah semulajadi ciptaan Allah. Ianya bukanlah sukar untuk direntasi.

tmp_IMG_20140319_0029211357272290Ekspedisi media Kumpulan Aktivis Media Independen Terengganu (KAMI) bagi membuat liputan PRK Dun Kajang dan PRK Dun Balingian, Sarawak bermula dari petang 17 Mac 2014 dengan Pengerusi KAMI, Dr Azman Ibrahim berkongsi ilmu dengan para jemaah Masjid Ar Rahimah, Gombak dalam sesi kuliah maghrib khas di sana. Ianya disusuli dengan promosi buku pertama terbitan KAMI, Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat yang mendapat sambutan hangat dari para jemaah.

Selesai sahaja kuliah, delegasi KAMI yang turut disertai Timbalan Pengerusi KAMI, Sazali Mohd Noor, Bendahari KAMI, Mohd Nazmi Ghazali serta Pengurus KAMI Management, Ahmad Faizol Mohd Yusop bergegas untuk membuat tinjauan perjalanan Pilihanraya Kecil Dun Kajang yang turut disertai sama Ketua Penerangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) Saudara Naraza Muda.

tmp_IMG_20140319_003748213525415Hanya sempat merehatkan badan kira-kira setengah jam di rumah seorang sahabat yang bermurah hati menerima KAMI sebagai tetamu, menjelang dinihari KAMI bergegas ke Terminal Tambang Murah (LCCT) KLIA untuk menaiki penerbangan jam 6 pagi ke Sibu. Penerbangan selama lebih kurang 2 jam berjalan lancar dan kira-kira 10 minit sebelum jam 8 pagi, bumi Sibu telah KAMI pijak. Terima kasih kepada Ustaz Mohd Isa Daud, sahabat lama Pengerusi KAMI yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sibu serta menghulurkan bantuan untuk memudahkan perjalanan misi media ini.

tmp_IMG_20140319_003040715423515Menaiki sebuah kereta yang disewa dari seorang sahabat di Sibu, KAMI berempat menempuh perjalanan lebih 160 km dari Sibu melalui jalan yang berliku dengan kiri kanannya kelihatan permandangan kawasan berhutan serta ladang-ladang sawit, menuju ke Bandar Mukah, di mana lokasi penamaan calon PRK Balingian telah diadakan semalam (17 Mac) di Dewan Suarah Mukah yang menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN, Yussibnosh Bolo dan calon PKR Abdul Jalil Bujang. Sesekali kelihatan deretan rumah panjang bercat biru yang menjadi tempat penginapan masyarakat setempat. Memang agak sukar untuk singgah di kedai-kedai makan sepanjang perjalanan lantaran status halalnya yang diragui.

Mukah akan menjadi lokasi penginapan sementara KAMI dengan menumpang sebuah rumah ihsan dari Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Abang Ahmad Kardee Abang Masunggus. Di rumah papan yang dibina di suatu kawasan berpaya serta terletak rapat antara jiran satu sama lain, di sini akan menjadi markas media KAMI untuk KAMI paparkan kepada pembaca laporan dari kacamata KAMI realiti masyarakat Balingian, keadaan sosio ekonomi mereka serta isu-isu yang membelit kehidupan rakyat di Dun yang telah diwakili oleh bekas Ketua Menteri Sarawak sejak sekian lama.