Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah
Rasulullah adala contoh tauladan dan pembawa rahmat kepada sekelian alam. Rasulullah saw telah membawa Islam yang sempurna, merangkumi seluruh aspek kehidupan. Rasulullah tiba dengan mengakhiri perutusan para nabi a.s yang dimulai dengan Nabi Adam a.s
Nabi Nuh a.s behadapan dengan pembesar-pembesar dizamannya dengan berbagai-bagai cubaan dan ujian. Nabi Ibrahim a.s, bukan sahaja berhadapan dengan karenah keluarganya, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan Raja Namrud yang memerintah kuasa besar dunia dimasa itu, sehinggalah Nabi Ibarahim dibakar dan dihalau keluar dari Babylon.
Nabi Musa a.s yang terpaksa berpisah dengan ibunya, dibesarkan di dalam istana Firaun, dengan jasa yang besar dari kerajaan Firaun, mendidik dan memberikan makan minum kepada Nabi Musa a.s. Sehinggalah akhirnya, Nabi Musa terpaksa berhadapan dengan Firaun, dengan dihalau keluar dari istana dan kampungnya. Tiba-tiba Allah swt meminta Nabi Musa a.s pergi menemui Firaun yang sangat zalim dan jahat, yang dinyatakan sendiri oleh Allah swt. Sedangkan Allah swt, maha mengetahui tentang kejahatan, kezaliman dan kerakusan Firaun yang bukan sahaja melakukan kejahatan ke atas kaumnya, tetapi juga mengaku dia sebagai tuhan yang memiliki sekelian alam.
Allah swt mengajar Nabi Musa a.s supaya bersikap matang dalam menyampaikan agama. Dan bersedia berhadapan dengan ujian dan halangan. Sehinggalah akhirnya, Nabi Musa a.s masuk ke dalam mahligai Firaun dengan menyatakan kata-kata yang amat lunak dan mesra dengan harapan agar Firaun mengambil ingatan dan takut kepada Allah swt. Allah taala maha mengetahui akibat yang akan ditanggung oleh Nabi Musa a.s. Nabi Musa akhirnya terpaksa berhadapan dengan hukuman yang sangat dahsyat iaitu hukum bunuh oleh Firaun. Nabi Musa a.s bersama pengikutnya terpaksa menyelamatkan diri. Dan akhirnya Allah taala kurniakan kemenangan kepada Nabi Musa.
Rasulullah saw pernah bersabda dengan menyatakan, perbandinganku dengan para nabi-nabi, seperti seorang lelaki yang membina bangunan. Dia mencantikkannya dan dia melengkapkannya. Sehinggalah dia membiarkan satu batu di penjuru bangunan itu. Akulah batu itu. Aku adalah penyudah sekelian nabi dan rasul a.s. Rasulullah saw bersabda orang yang yang paling dahsyat berhadapan dengan ujian ialah para nabi a.s. Sudah tentulah nabi kita Muhammad saw menghadapi ujian, ujian yang begitu dahsyat daripada pembesar-pembesar Quraisy. Pembesar-pembesar Quraisy sangat jahat, sangat zalim, kufur dan syirik kepada Allah.
Inilah antara contoh uslub dakwah yang telah dicorakkan oleh para nabi dan rasul dalam mengadapi halangan-halangan dakwah. Nabi dan rasul sudah tiada dizaman ini, tetapi jalur dakwah mereka tetap ada dalam tinggalan Quran dan Hadis yang dicorakkan dengan kebijaksanaan para pewaris mereka iaitu ulamak. PAS adalah salah satu jemaah yang berpegang dengan Quran dan hadis dalam perjuangan samada dakwah atau politiknya. Teladan yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul ini ialah, berjumpa, berdisukusi, berdebat dan juga menasihat. Tiada sebab bagi PAS untuk mengikut mereka masuk ke dalam lubang kebatilan kerana para nabi dan rasul tidak pernah bergabung dengan kebatilan tetapi berjumpa dan memperbaiki si pembuat kebatilan, jelas disuruh Allah dalam al-Quran dan hadis.
Hal ini amat mudah difahami, tetapi ada golongan yang sengaja membuat tuduhan yang mengelirukan. Terkadang kenyataan dibuat bagi menyalah ertikan kefahaman orang lain bagi tujuan yang mereka sendiri tahu. Begitulah antara sebab pokok bergoyang, bukan sahaja kerana angin, tetapi terkadang ada binatang-binatang yang tinggal di atas pokok itu yang menggoyangkannya. Sebagi ahli yang matang, kita seharusnya tahu apakah penyebab goyangan itu berlaku. Tidak dinafikan, ada perpecahan di dalam jemaah kerana tidak memahami dan berpuashati dengan uslub yang dipilih oleh pimpinan, tetapi mengapakah mulut mereka terkatup rapat apabila pihak lain yang mereka puja melakukan perkara yang serupa? Inilah antara sebahagian alasan besar kepada perpecahan jemaah.
Semoga kita mengambil iktibar dan pelajaran daripada tinggalan insan terhebat dan sempurna, iaitu rasulullah saw dalam kita menelusuri dakwah dizaman yang penuh dengan fitnah ini. Agar kita tetap berada di jalan yang lurus hasil istiqam ah kita dengan tuntutan Islam yang membawa kita ke syurga insyaAllah. Wallahua’lam.
***YB MOHD NOR HAMZAH ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu
12 Rabiul awwal 1437H



























