Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
15 Mei setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam, nakbah Palestin atau pun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel. Pengusiran dan pembantaian kepada umat Palestin tidak berhujung, seolah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan. Hilang sensitiviti dengan kemuliaan masjidil Aqsa yang diceroboh serta pembantaian lebih setahun di Gaza yang menikam sukma orang beriman. Cuma kali ini kesedihan umat Islam terubat melihat Tentera Allah yang meranapkan Israel dengan lahan terbakar seluas 5000 ekar, dengan hembusan ribut taufan tak bersahabat sehingga memaksa negara haram itu meminta bantuan luar. Inferno yang tak terkawal seolah kembar kepada kejadian yang menimpa kuasa adijagat beberapa bulan lepas yang membaham sebahagian lahan di Los Angeles dan California.
15 Mei kali ini juga menoreh sejarah hitam kepada umat Islam dengan pembunuhan kejam di Gaza dengan sikap munafik negara Arab. Gaza melimpah derita dengan hampir 50 000 kehilangan nyawa, dianggarkan kemusnahan hampir 90 peratus bangunan serta prasarana awam. Penjara terbuka terbesar ini juga juga mengalami genosid bahkan dalam keadaan separah itu pun tiada bantuan kemanusiaan luar dibiarkan bebas. Kelmaren, kapal kemanusiaan Food Flootila dibedil tanpa belas kasihan oleh regim zionis di zon antarabangsa menuju ke Gaza. Ironinya dalam keadaan api sedang membakar lahan mereka namun perangai kebinatangan mereka tak mampu disembunyikan walau sesaat!.
Gerakan Zionis yang ditubuhkan pada tahun 1897, terus merancang dengan teliti untuk menakluki tanah Palestin. Tanah yang mereka dakwa milik mereka,saat itu dijaga oleh pemerintah Islam, Khilafah Uthmaniah. Zaman imperialisme Barat , zaman ” the blue eyes mentality”, zaman umat Islam hilang kekuatan politik Islam yang menyaksikan umat Islam yang terpuruk kebelakang turut mempercepatkan kewujudan negara haram Israel di atas tanah Palestin.
Teodor Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (ii) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang, namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelusuk dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.
Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam, dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada ummat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwanul Muslimin pada tahun 1940an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948 oleh penguasa Mesir. Terkini Ikhwanul Muslimin Jordan juga diharamkan kerana pengupayaan mereka dalam membantu umat Islam di Gaza. Sebelum itu lagi dalam rakam an sejarah, dalam dekad 1930an, Sheikh Izzudin al Qassam telah berjuang dan akhirnya telah mati syahid dibunuh penjajah British. Juga seorang ilmuan daripada alam Melayu yang gencar memperjuangkan isu Palestin, Dr Burhanuddin al Helmi turut ditangkap dan dipenjarakan oleh British. Negara dan pemimpin Arab dikunci mulut dan tangan oleh British melalui Perjanjian Posmourth , terkucil keberanian pemimpin melihat tanah Palestin dijarah oleh musuh Islam.
Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950an dan 60an yang berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25 000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis dalam perang yang singkat tempohnya ini. Arab hilang kekuatan dan kemuliaan tanpa Islam!.
Namun hikmah kekalahan ini telah memunculkan semangat kebangkitan semula Islam dikalangan generasi anak-anak muda berpendidikan di Timur Tengah .
Mesir akhirnya berjaya mengambil kembali Semenanjung Sinai dalam Perang Ramadhan 1973, dengan bantuan ulama dan sentimen kebangkitan semula Islam. Bulan jihad dan kemenangan yang sangat memotivasikan Muslim untuk berjuang. Namun regim Mesir pasca Perang Ramadhan 1973 kembali mengganas dan menangkap aktivis Islam dan menyumbat kembali mereka kedalam jeriji penjara.
Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin. Sayap tentera HAMAS, Al Qassam berjaya dalam banyak siri pertempuran dan sehingga kini mengawasi percubaan zionis untuk melumpuhkan Gaza. Mereka tak sewenangnya untuk menyerang Gaza kerana bimbangkan tindakbalas daripada al Qassam.
Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS malah sikap regim Arab dalam isu taufan Al Aqsa. Lihat juga sikap penguasa Saudi yang sangat menjengkelkan dan sangat mengecewakan umat Islam dalam isu Palestin ini.
Bagi penulis, usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang di bantai kejam. Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir bahkan kerajaan Jordan membuka pintu sempadan bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluhlantak dengan serangan Zionis sejal oktober 2023. Perjuangan membebaskan Palestin adalah tanggungjawab seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!. Bangkitlah umat Islam, 77 tahun Nakbah Palestin dan sudah lebih setahun mereka meratapi dengan airmata darah warga Gaza. Kita adalah manusia yang paling tolol jika rajin beribadah namun melupakan nasib tanah Palestin, kiblat pertama ummat Islam ini serta Masjidil Aqsa.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)