Menanti as-syahid Dr.Abdullah Yusof al-Azzam Yang Baharu

2818

Oleh : MNA

Sepanjang beberapa hari ini, cerita berkenaan dengan peperangan di Syiria yang dikaitkan dengan kehadiran Presiden PAS ke Tehran mewarnai masyarakat maya. Ditambah dengan surat dari Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) yang membantah kehadiran Presiden PAS ke Tehran, rencah ceritanya menjadi semakin menyesakkan dada sesetengah golongan yang masih mempunyai kepercayaan kepada Presiden PAS.

Walaupun sudah dimaklumkan akan rancangan pemergian itu, namun Setiausaha Kuis tetap melampiaskan kemarahan beliau bersama Presiden KUIS melalui sepucuk surat. Tidak dapat dinafikan kemarahan Syeikh Yusof al-Qaradhawi itu sangat wajar kerana nama KUIS kononnya telah digunakan bagi mendampingi Syiah.

Terima kasih Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi atas pengakuan kekhilafan beliau dalam mencoret penjelasan tentang kehadiran Presiden PAS di Tehran sebagai mewakili KUIS. Biarlah pihak kepimpinan KUIS menyelesaikan masalah itu kerana mereka belum bertemu mata lagi. Sebagaimana pertelingkahan Presiden PAS dengan almarhum Mursyidul Am PAS dahulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering kelihatan seperti perbalahan besar di alam maya, namun apabila bertemu, semuanya berpelukan. Terhapuslah keraguan dan kecewalah para penghasut.

Saya mengambil masa bagi membaca beberapa catatan sejarah setelah melihat isu ini berlarutan dengan harapan dapat mencari sesuatu kebaikan dalam isu ini. Ternyata ada satu sejarah berkenaan taqrib ini yang sangat dekat dengan kita dan saya percaya masih ramai yang menjadi saksi hidup atas sejarah ini. Ia berkenaan Dr Abdullah Yusof al-Azzam. Seorang daripada syuhada di Afghanistan yang telah syahid dibunuh pada hari Jumaat ketika langkahan kaki beliau sedang menuju ke masjid. Beliau terbunuh di tempat kejadian.

Menelusuri kisah perjalanan hidup beliau yang berasal dari Palestin itu, beliau ialah seorang yang taat beragama. Mempunyai latar belakang yang sangat kental dengan asuhan Islam daripada keluarga beliau. Seorang yang bersemangat dan sangat berkeyakinan dengan janji Allah. Beliau seorang yang sangat cerdas, sehingga dalam keadaan berjuang sekalipun, beliau berjaya memperolehi gelaran Dotor Falsafah dalam bidang syariah. Beliau meninggalkan kesenangan hidup dunia, bahkan membawa bersama keluarga beliau berjuang ke jalan Allah di Afghanistan. Isteri beliau membantu menjaga keperluan anak-anak yatim di Afghanistan. Inilah contoh peribadi seorang pejuang, sama seperti jalan yang ditunjukkan oleh rasulullah saw iaitu membawa bersama keluarga ke jalan Allah.

Paling menonjol ialah bakat kepimpinan beliau ketika memimpin mujahidin di Afghanistan. Kemampuan terulung beliau ialah berjaya menyatukan semua golongan mujahidin di sana sehingga berjaya menghambat keluar tentera Rusia dengan maruah yang begitu tercalar. Ketika memimpin, beliau memberi amaran kepada semua mujahidin agar membuang pemikiran yang berbeza seperti menghakimi golongan yang lain daripada fikrah mereka dalam pasukan mujahidin itu.

Menyerabutkan pemikiran dengan hal-hal remeh temeh dan khilafiayah, hanya memberikan ruang syaitan untuk menguasai hati. Maka amanlah mereka daripada perkara itu. Ternyata mujahidin Afghanistan adalah antara contoh mujahidin terbaik yang sejarahnya hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, masih boleh disaksikan oleh sebahagian dari kita.

abdullah AzzamNamun semua itu berlaku ketika mereka bersama-sama menghadapi tentera Beruang Merah itu. Setelah Rusia berjaya dihalau keluar, para mujahidin tempatan menghalakan pula muncung senjata-senjata kepada sesama mereka. Mereka bertelagah untuk menjadi pemerintah Afghanistan. Maka muncul pula puak-puak dari suku kaum di Afghanistan mendakwa kelayakan mereka memerintah Afghanistan.
Peranan yang besar telah dimainkan oleh as-syahid Dr. Abdullah Azzam bagi menyatukan kembali mujahidin-mujahidin ini. Nama-nama seperti Ahmad Maso’ud, Gulbuddin Hekmatayar, Burhanuddin Rabbani, dan lain-lain lagi menjadi kepala-kepala yang mesti dijinakkan bagi mengurangkan risiko peperangan sesama mujahidin ini. As-syahid telah hampir berjaya menyatukan mereka semua dengan kehebatan yang Allah kurniakan kepada beliau. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya. Beliau syahid dibunuh musuh beliau sebelum sempat Afghanistan disatukan kembali.

Sejarah telah menyaksikan setelah syahidnya Dr.Abdullah Azzam, Afghanistan kembali bergolak dengan pembunuhan sesama bekas mujahidin kerana perpecahan itu. Ketika itu, kafir mengkafir, bunuh membunuh berlaku dengan jumlah yang besar. Ia bermula dengan isu ketidakpuasan hati, membawa kepada perang saudara yang akhirnya, tidak diketahui siapa yang benar dan siapa yang salah. Tetapi pembunuhan, kafir mengkafir, tetap berlaku.

Akhirnya, Rusia yang telah dihambat pulang dan dimalukan oleh mujahidin, kembali menguasai Afghanistan melalui proksinya Mohammad Najibullah. Rakyat Afghanistan sehingga kini bagaikan merempat di bumi sendiri walaupun mempunyai hasil bumi yang banyak.Begitulah hinanya umat Islam apabila memutuskan kesatuan umat hanya kerana nafsu haloba mereka sendiri.

Tidak ramai individu seperti as-syahid Dr. Abdullah Azzam, as-syahid Hassan al-Banna, Syeikh Ahmad Yaasin ataupun Syed Qutb ini. Persamaan yang sangat jelas pada perjuangan mereka ialah fokus kepada musuh yang nyata iaitu yahudi dan nasrani seperti yang sebut di dalam al-Quran. Tetapi teramat ramai golongan yang secara langsung atau tidak, menjadi batu penghalang kepada usaha-usaha penyatuan ini. Sebagaimana kata as-syahid Dr.Abdullah kepada golongan penghalang ini, bahawa percakaran sesama sendiri diapi-apikan sedangkan tiada sebutir pelurupun dibidik kearah musuh Allah. Lihatlah pula contoh bagaimana ketika kemenangan Mursi di Mesir. Beliau dihalang dan diganggu oleh golongan yang mengaku Islamis yang kemudian membiarkan Mursi terkial-kial diserang as-Sisi.

Saya secara peribadi, amat mengharapkan Presiden PAS akan dikurniakan kekuatan oleh Allah menjadi seperti as-syahid Dr. Abdullah Azzam ini. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada beliau menyatukan semua golongan. Semoga beliau juga disyahidkan atas perkara yang sama. Saya yakin dan percaya Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga inginkan hal yang sama iaitu mati didalam menyatukan manusia kepada agama Allah.

Kekhilafan dalam membuat keputusan adalah biasa sebagai manusia. Hanya orang yang benar-benar hatinya bermasalah yang mahukan perpecahan sesama Islam. Pernah dinukilkan oleh Dr.Syeikh Yusof sendiri dalam menafsirkan beberapa ayat bahawa rasulullah saw yang mulia itu juga pernah terkhilaf dalam membuat keputusan. Membuktikan manusia sememangnya lemah.

Namun harus berhati-hati dengan kesempatan yang sentiasa diintai musuh-musuh dalam menghalang usaha ini. Sebagai contoh, dalam usaha Presiden PAS cuba mengurangkan perpecahan sesama Melayu-Islam di Malaysia, beliau ditentang dengan sedaya usaha oleh musuh-musuh beliau. Maka usah dipedulikan dengan suara-suara sumbang yang tidak menyumbang itu.

Mereka hanya tahu duduk di depan komputer, memberikan komen, mengkritik dan ada yang ingin menjatuhkan lebih-lebih lagi sasaran itu Presiden PAS. Hasilnya sangat lumayan jika beliau dijatuhkan. Tetapi mereka tidak pernah menjejakkan kaki mereka ke medan juang. InsyaAllah, Allah akan menggagalkan usaha mereka itu.

Sebagaimana ungkapan as-Syahid Hassan al-Banna “Sesungguhnya ramai orang yang mampu berkata-kata dan sedikit daripada mereka itu yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula daripada yang sedikit itu yang mampu bertahan semasa beramal dan sedikit daripada mereka itu yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan kerja berat. Para mujahidin itulah angkatan yang terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong agama Allah. Wallahua’lam