Membedah Otak Umno Terengganu

260

Saya percaya yang saya mungkin dapat mengagak, mengapa atau apakah alasan di sebalik ketegaran Umno Terengganu memilih untuk bertembung dengan PAS di semua kerusi. Alasan demi alasan yang diberikan mereka, tidaklah mencerminkan ketulusan atau kebenaran hati mereka. Daripada semua kutipan maklumat semenjak tahun lepas, saya yakin saya ada rumusan yang jelas.

Daripada apa yang saya dimaklumkan ketika pulang bercuti Oktober tahun lepas, memang sudah diminta dengan bersungguh-sungguh kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Ahmad Said semenjak tahun lepas berkenaan penyatuan ini oleh MB. Beliau secara peribadi, tidaklah menolak ajakan yang baik itu. Namun sepertinya beliau tidak berdaya menahan asakan daripada orang beliau sendiri.

Ada di antara pimpinan Umno Terengganu yang masih mahukan jawatan YB. Sekadar menurut status quo sebanyak 10 kerusi, tidaklah memberikan gah kepada mereka kerana masih yakin diri mereka layak menjadi YB atau Exco. Ditawarkan menjadi pengerusi GLC juga, bukanlah sesuatu yang membanggakan, kerana akhirnya semua jawatan itu, akan duduk di bawah MB dan Exco juga.

Kesilapan mereka ini apabila cuba untuk berlawan ialah mereka masih merasakan bahang 2004, ketika mana mereka menang 28-4 mengalahkan PAS. Suka diingatkan, sewaktu itu, Umno Terengganu bersatu di bawah kepimpinan DS Idris Jusoh. Mereka lupa yang DS Idris telah membuang semua calon-calon yang berkaliber dari barisan Exco sebelum itu untuk menjadi MB, meninggalkan hanya DS Ahmad Said yang DS Idris gagal singkirkan.

Akhirnya setelah sepenggal DS Idris menerajui Umno dan Kerajaan Terengganu, DS Idris telah ditunjukkan jalan keluar. Sewaktu krisis dengan istana melanda, begitu ramai penyokong DS Idris menunjuk perasaan dan khabarnya ketika beliau pulang ke Besut, di utara Terengganu, beliau telah disambut oleh ribuan penyokongnya. Manakala di sebelah selatan, iaitu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pula, Tuanku Sultan Mizan disambut oleh puluhan ribu rakyat.

Sebelum DS Ahmad Said diberikan jawatan MB, sudah ada tawaran kepada Exco-Exco lain, tetapi semuanya menolak kerana tetap mahukan DS Idris menjadi MB. Akhirnya DS Ahmad Said menerima jawatan itu dengan alasan, mahu menyelamatkan Umno, agar tiada PRN. Tetapi majlis berjalan sangat ringkas, seperti tiada sambutan. DS Ahmad Said pula kelihatan seperti pengantin kahwin lari, terus pulang ke Kijal.

Tekanan kepada DS Ahmad terus dirasakan dengan tentangan kepada penerimaan jawatan itu. Sehinggakan beliau menghadapi kesukaran mencari pegawai yang boleh bersama dengannya bagi melicinkan pentadbiran. Begitulah kekuatan Idris Jusoh. Akhirnya beliau menjumpai beberapa pegawai yang sanggup bersamanya. Akan tetapi pegawai beliau itu pula akhirnya diugut bunuh oleh orang Umno sendiri, sehingga beliau ditangkap dan dihukum atas ugutan itu.

Tidak lama, hanya kira-kira sepenggal, suara-suara mahukan Ahmad turun telah berkumandang semula. Kali in dengan lebih kuat dan nyaring. Akhirnya pada bulan April 2014, setelah enam tahun, ketika Ahmad sibuk mengaturkan majlis perkahwinan anaknya, beliau telah diturunkan dari kerusi empuk MB dan digantikan oleh DS Ahmad Razif Abdul Rahman. Kecoh sekejap, Ahmad juga menangis kerana rasa dikhianati.

Kemudian, beliau mengugut untuk menjatuhkan Kerajaan BN yang ketika itu berkelebihan dengan dua kerusi sahaja. Diajaknya dua orang lagi YB Umno untuk bersamanya. PAS Terengganu ketika itu mengarahkan semua Adun bersedia dengan segala kemungkinan. Tetapi guruh yang berdentum berbunyi, petir sabung menyabung itu, akhirnya hanyalah mencurahkan beberapa titisan hujan yang renyai dan kemudian, panas kembali muncul. Tiada banjir besar.

‘U turn’ oleh ketiga-tiganya. Mereka kembali kepada Umno. Tiada demonstrasi menentang penurunan jawatan Ahmad oleh penyokong mahupun rakyat sebagaimana Idris dahulu. Sunyi sepi. Menunjukkan bahawa Ahmad bukanlah seorang pimpinan yang dihormati oleh Umno sendiri. Mereka meraikan penabalan Razif sebagai MB baharu. Pun begitu, Ahmad mencuba sekali lagi.

Setelah setahun beliau diam membungkam di dalam Sidang Dun, beliau suatu ketika, bangun mendedahkan apa yang dikata sebagai skandal 1MDB. Geger sebentar seluruh negeri. Sekali lagi paluan gendang provokasi Ahmad, tidak dilayan oleh orang Umno. Hanya kesempatan pendedahan itu, berjaya digunakan sepenuhnya oleh PAS.

Razif juga kemudiannya menghadapi masalah dengan istana. Gelaran Dato’ Seri beliau ditarik setelah berlaku perkara yang tidak diingini. Walaupun dikurniakan kembali, tetapi ia memberikan kesan yang kurang baik. sudah Tercalarnya hubungan beliau dengan istana, sekaligus telah menyebabkan harapan untuk kembali menjadi MB adalah tipis. Oleh itu Ahmad, walaupun tidak disukai, terpaksa dipilih atas sebab banyak pengalaman, bukan kerana pemimpin yang disukai. Ia kerana tiada pilihan.

Jelas sekarang, PAS Terengganu mempunyai kualiti kepimpinan yang jauh berbanding Umno Terengganu. Siapa pengganti Ahmad jika sekiranya beliau tidak dipilih untuk menandingi pimpinan PAS? Din Adam? Nawi Mohamad? Pehemi Yusof? Rosli Daud? Cikgu Latiff? Semua ini bekas Exco. Atau Umno Terengganu mengharapkan Sabri Alwi? Ramli Nuh? Dato’ Sabri? Tengku Zaihan? Yang agak bagus seperti Khazan Che Mat dan Rosol Wahid, sudah menyertai Bersatu.

Kemarau pemimpin kesayangan rakyat dalam Umno sepeti dahulu, sangat kronik. Nama-nama yang saya senaraikan itu, tidak mampu menggalas tanggungjawab menjaga negeri. Sentimen 2004 dahulu tidak sama dengan keadaan sekarang. Royalti juga telah dikuasai semula oleh PAS. Dahulu tidak banyak projek yang dibuat kerana tiada wang. Rakyat marahkan pimpinan Umno sebelum 1999. Rakyat naik angin kepada Umno kerana kes Anwar. Fitnah-fitnah bertebaran, dipercayai oleh rakyat.

Umno Terengganu masih meyakini kekuatan mereka. Oleh itu Kelantan bukanlah contoh terbaik bagi Umno. Ia adalah contoh kepada PAS. Maka nasihat daripada pimpinan Kelantan, dicebik mereka kerana Umno Terengganu lebih kuat dari Kelantan. Itulah lagak mereka. Merasa besar kepala, tidak mahu terima nasihat yang baik.

Inilah yang ada dalam otak Umno Terengganu sebenarnya. Mereka tahu mereka akan kehilangan jawatan yang banyak jika berkongsi kuasa. Mereka tahu juga, jika selepas kalah nanti, mereka merayu kepada PAS, PAS akan membuka pintu rundingan kerana sememangnya sikap PAS begitu, berlembut kerana mahukan perpaduan Islam. Jadi biarlah Umno mencuba dahulu untuk menang. Untung menang dapat negeri, nanti kalah, dia ajak bergabung dan minta jawatan.

Ubahlah cara otak berfikir begini. Umno tidak akan menjadi pejuang kepada rakyat yang sebenar. PAS mengajak untuk perpaduan, bukan bermusuhan. Memang benar kata orang tua-tua, mahu berdamai, berjuta alasan belum tentu berjaya. Tetapi mahu berpecah, hanya satu alasan sahaja mencukupi. Wahai Umno Terengganu, PAS mahu berdamai demi agama, bangsa dan keturunan kita. Pusakakan mereka dengan kasih sayang sesama Islam dan bangsa, insyaAllah selamat. Keputusan di tangan kamu.

Mohd Nasir Abdullah
23 Mac 2021