MDQ Kembalikan Masyarakat Kepada ‘Izzah’ Pengajian Islam

3575
Pelajar cemerlang adik Nur Auni Nadhirah Amari menerima anugerah

Oleh : MNA

MARANG – Maahad Darul Quran (MDQ), Rusila, di sini, telah membuktikan kepada masyarakat akan peranannya sebagai pusat penyebaran ilmu Islam semenjak puluhan tahun dahulu.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, ia mengembalikan izzah (kemuliaan) dan kebanggaan kepada pendidikan Islam yang terancam kerana persaingan dalam dunia pendidikan.

“Apa yang berlaku ialah kita diuji oleh Allah swt hilangnYa izzah, hilangnya rasa bangga kita mengaji Islam, malu mengaji Islam.

“Maka Darul Quran ditubuhkan tahun 80-an tujuannya untuk menghidupkan semula ilmu Islam.

“Dalam masa yang sama, untuk menentang agenda-agenda yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui pemikiran (William Ewart) Gladstone (bekas Perdana Menteri British) yang mahu mencabut al-Quran dari orang Islam,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Ihtifal Eidul Ilmi Maahad Darul Quran ke-27 iaitu majlis anugerah kecemerlangan pelajar di Dewan Tok Guru, Perkarangan Masjid Rusila.

Tegas beliau, kecemerlangan ilmu Islam telah berjaya mengatasi tamadun Rom dan Parsi ketika Islam dipandang hina kerana membawa kebenaran daripada Allah.

Beliau yakin Islam kini sedang bangkit dengan jayanya setelah melihat negara-negara barat melalui ilmu mereka, gagal mencapai tujuan kemanusiaan yang sebenar.

Majlis turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu, Senator Dato’ Hussein Awang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ahli Lembaga Pengarah MDQ, para pengajar, kakitangan serta ibu bapa pelajar-pelajar.

Sementara itu, pelajar terbaik MDQ bagi tahun ini, adik Nur Auni Nadhirah Amari ketika ditemui berkata, beliau bersyukur atas anugerah yang diterimanya.

Dengan memperolehi markah keseluruhan 89.55 peratus, kata Nur Auni, beliau bercita-cita untuk menjadi pensyarah dan sedang membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat untuk melanjutkan pengajiannya.

“Saya sentiasa fokus dalam kelas dan juga selalu berdoa untuk kejayaan,

“Saya juga telah menghafal 30 juzuk dan lulus 25 juzuk ketika ujian,” katanya, yang berasal dari Kampung Pulau Manis, Manir ketika ditanya bagaimana mencapai kejayaan.

Justeru itu, Nur Auni berpesan kepada adik-adik pelajar yang inginkan kejayaan supaya terus berusaha dan fokus kepada penerangan guru dalam kelas.