Oleh : DMS
SETIU – Masalah muara yang cetek yang membataskan aktiviti pelancongan dan nelayan di Kampung Merang sejak sekian lama kini mendapat perhatian serius dari kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, kerajaan negeri sedang meneliti langkah-langkah yang akan diambil sebelum sebarang keputusan dilakukan.
“kita akan meneliti masaalah ini termasuk juga kajian yang akan dilakukan oleh Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) untuk pembinaan Break Water (Pemecah Ombak) bagi mengatasi yang di hadapi sekarang,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan lawatan di muara sungai tersebut hari ini, Isnin, 11 Jun.
Sehubungan itu beliau berkata, segala penerangan yang dibentangkan oleh Timbalan Pengarah JPS, Encik Osman Abdullah akan dijadikan rujukan.
Dalam perkembangan berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang itu berkata, buat masa ini proses mendalamkan muara yang dilaksanakan sekarang akan diteruskan, sehingga satu keputusan dibuat oleh mesyuarat peringkat kerajaan negeri.
Sementara Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berharap jalan penyelesaian terbaik akan dihasilkan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masaalah yang sering dihadapi penduduk selama ini.
Turut hadir pada pertemuan itu Pegawai Daerah Setiu,Tuan Haji Rosdi bin Awang,Ketua Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Encik Wan Khalid Wan Jusoh, YDP Majlis Daerah Setiu Zulkafeli bin Omar, Jurutera Daerah JPS Setiu Puan Aisyah Abu Bakar serta Ustaz Zul Bhari Abd Rahman, Penyelaras DUN Permaisuri.