Malaysia Perlu Pakej Rangsangan Lebih RM19b

949

Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed berkenaan kemungkinan kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan bagi menyokong ekonomi Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, antara fokus pakej kali ini adalah untuk merangsang beberapa segmen ekonomi iaitu pelancongan, peruncitan dan industri penerbangan.

Untuk tahun 2020 kerajaan mensasarkan pertumbuhan sebanyak 4.8%. Dalam kenyataan kami bertarikh 28 Januari 2020 kami mengjangkakan sasaran pertumbuhan ini sukar untuk dicapai disebabkan penularan wabak Koronavirus (2019-nCoV) yang memberi kesan langsung kepada industri pelancongan. Terdahulu daripada itu kami juga telah mencadangkan melalui kenyataan bertarikh pada 6 Januari 2020 bahawa Malaysia perlu untuk memperkenalkan pakej ransangan bagi terus menyokong ekonomi untuk keluar daripada kelembapan sekarang.

Malaysia telah beberapa kali memperkenalkan pakej ransangan diantara tahun 2001 hingga tahun 2015. Berdasarkan analisa kami, untuk suntikan ransangan kali ini, Malaysia memerlukan saiz dana bernilai antara RM19 billion hingga RM21 billion. Saiz dana ini adalah perlu bagi memastikan sasaran pertumbuhan ekonomi negara mampu untuk dikekalkan sekitar 4.8%.

Kami juga bersetuju dengan cadangan Kerajaan bahawa sektor pelancongan dan peruncitan memerlukan sokongan ransangan bagi terus menyokong permintaan domestik. Namun sepertimana kenyataan kami yang lalu, sektor pembinaan, terutama melalui pembinaan rumah mampu milik, harus diberikan penekanan oleh kerajaan melalui pakej ransangan ini. Sektor yang berimpak tinggi dan mempunyai faktor pekali tinggi seperti pembinaan ini mampu untuk merangsang permintaan terutama bagi segmen peruncitan dan perbankan.

Dengan sasaran 1 juta rumah mampu milik yang akan dibina diantara tahun 2018 hingga tahun 2025, dan disokong dengan pakej ransangan yang dicadangkan Kerajaan, kami yakin ianya mempunyai skala yang mencukupi untuk menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara.

*MAZLI NOOR*
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

18 JamadilAwal 1441H
13 Februari 2020