Revolusi Agung Kebangsaan Arab (The Great Arab Revolt atau al-Thawra al-‘Arabiyyah al-Kubra) yang berlaku pada tanggal 10 Jun 1916 M (9 Sya‘ban 1334 H) dinobatkan dengan jenama Makkah yang mulia.
Revolusi ini dimulakan dengan tembakan senapang oleh Syarif Husain (Raja Hijaz) yang memberontak bagi menjatuhkan khilafah dan mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah yang baharu. Beliau ialah pemimpin berbangsa Arab yang disokong oleh penjajah British bagi menggantikan Khilafah ‘Uthmaniyyah berbangsa Turki yang digulingkan.
Makkah merupakan tanah suci dan kiblat kepada umat Islam daripada semua mazhab yang sama rukun Islam dan imannya (Sunni, Syiah, Ibadi dan lain-lain), yang dinamakan semuanya oleh para ulama’ sebagai Ahli Kiblat. Malah, umat Islam juga masih menunaikan haji di Makkah walaupun mereka berkhilaf. Dalam kalangan mereka, ada yang tersalah dalam berijtihad dan ada yang tersesat kerana kejahilan mereka.
Maka, Makkah digunakan untuk menarik sokongan umat Islam, termasuk mereka yang tersesat bersama musuh Islam.
Di Malaysia, penjajah British bertindak terhadap Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang memimpin rakyat Terengganu menentang penjajah pada tahun 1928 dengan dibuang negeri ke Makkah. Namun begitu, ramai yang mengalu-alukan hukuman itu kerana diasingkannya ke tanah suci Makkah.
Kini, jenama Makkah digunakan semula melalui media yang berpihak kepada negara-negara yang diberikan hadiah atas jasa mereka menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah dahulu yang mengecewakan Palestin dan Bait al-Maqdis. Malah, negara-negara ini juga mengadakan normalisasi dengan Israel dan negara-negara yang mendukungnya, serta bersikap merendahkan pihak yang membela Palestin dan menentang Israel.
Allah memberi peringatan supaya berhati-hati menerima berita daripada golongan fasiq yang merosakkan. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu!” [Surah al-Hujurat: 6]
Sabda Rasulullah SAW:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.
“Akan tiba masanya kepada manusia tahun-tahun yang penuh penipuan. Di mana pembohong dianggap benar, sementara orang yang benar pula dibohongi. Pengkhianat diberikan amanah, manakala orang yang amanah pula dikhianati. Maka, golongan Ruwaibidah pula berkata-kata.” Rasulullah SAW ditanya, “Siapakah itu golongan Ruwaibidah?” Baginda menjawab, “Orang yang jahil dan bodoh agama, bercakap berkenaan perkara besar dan penting (perkara kepentingan umat).” [Hadis riwayat Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, no. 4036, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 7912, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]
Dalam isu Palestin, Bait al-Maqdis merupakan antara wilayah yang menghadapi kezaliman melampau Zionis Israel melalui sokongan senjata, harta dan diplomatik daripada Amerika Syarikat dan sekutunya yang dikutuk oleh semua mazhab Islam dan manusia yang berperikemanusiaan. Hanya segelintir sahaja manusia yang berada di luar tabii yang sanggup mengadakan normalisasi dengan mereka yang melakukan kezaliman yang melampau itu.
Pada masa yang sama, hanya segelintir negara yang benar-benar merdeka dan kumpulan yang berperikemanusiaan sahaja yang bersimpati dan membantu Palestin.
Maka, filem lama menggunakan tanah suci Makkah diulang semula bagi menyokong kezaliman yang nyata.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” [Surah Hud: 113]
Besar dosanya mereka yang menggunakan tanah suci Makkah yang mulia bagi menggoda orang ramai melakukan khianat terhadap Islam, melindungi kezaliman dan menyebarkan fitnah terhadap mereka yang sebenarnya ikhlas berkorban dan berjihad bagi mempertahankan Islam, tanah suci dan umatnya.
Allah SWT berfirman terhadap sifat jahiliah Arab yang menyalahgunakan Makkah:
مَا كَانَ لِلۡمُشۡرِكِينَ أَن يَعۡمُرُواْ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ شَٰهِدِينَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِم بِٱلۡكُفۡرِۚ أُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ وَفِي ٱلنَّارِ هُمۡ خَٰلِدُونَ ١٧ إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٨ ۞أَجَعَلۡتُمۡ سِقَايَةَ ٱلۡحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ كَمَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَجَٰهَدَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ لَا يَسۡتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٩ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ ٢٠
“Tidaklah pantas orang-orang Musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah, sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Itulah orang-orang yang sia-sia pekerjaannya, dan mereka kekal di dalam neraka. (17) Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. [18] Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjid al-Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. (19) Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (20)” [Surah al-Tawbah: 17-20]
Ayat ini ditujukan kepada para pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat yang diberikan kepada pengunjung Makkah dan sumbangan harta bagi memakmurkan bangunannya. Pada masa yang sama, mereka juga menentang Rasulullah SAW dan para sahabat yang menjadikan masjid di Makkah sebagai tempat ibadat dan titik tolak perjuangan menegakkan Islam serta memenangkannya sehingga berkuasa.
Firman Allah SWT:
وَمَا لَهُمۡ أَلَّا يُعَذِّبَهُمُ ٱللَّهُ وَهُمۡ يَصُدُّونَ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ وَمَا كَانُوٓاْ أَوۡلِيَآءَهُۥٓۚ إِنۡ أَوۡلِيَآؤُهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُتَّقُونَ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٣٤ وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمۡ عِندَ ٱلۡبَيۡتِ إِلَّا مُكَآءٗ وَتَصۡدِيَةٗۚ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ ٣٥ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ لِيَصُدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيۡهِمۡ حَسۡرَةٗ ثُمَّ يُغۡلَبُونَۗ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحۡشَرُونَ ٣٦ لِيَمِيزَ ٱللَّهُ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ وَيَجۡعَلَ ٱلۡخَبِيثَ بَعۡضَهُۥ عَلَىٰ بَعۡضٖ فَيَرۡكُمَهُۥ جَمِيعٗا فَيَجۡعَلَهُۥ فِي جَهَنَّمَۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٣٧
“Kenapa Allah tidak mengazab mereka padahal mereka menghalangi orang untuk (mendatangi) Masjid al-Haram, dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya? Orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (34) Sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu, tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka, rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu. (35) Sesungguhnya, orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam Jahannamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan. (36) Supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk daripada yang baik dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya atas sebahagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam Neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi. (37)” [Surah al-Anfal: 34-37]
Ayat ini pula ditujukan kepada para pemimpin Makkah yang bermegah menjadi wali yang menjaganya, padahal mereka tidak beriman dengan ikhlas kepada Allah dan tidak beribadat, tetapi berhibur dengan siulan, nyanyian dan sendaan terhadap agama Allah.
Apa yang disebut dalam al-Quran akan berulang sepanjang zaman.
Kini, Makkah digunakan lagi bagi mendukung negara yang mengecewakan Palestin yang lebih berwala’ kepada negara Zionis dan pro-Zionis, bahkan ada yang mengadakan normalisasi.
Media Barat dan media tempatan yang bersekongkol digunakan bagi melariskan propaganda senjata lama yang pernah berperanan menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada awal abad yang lalu.
Tujuan utamanya adalah bagi menghalang kebangkitan semula kuasa Islam yang menjadi agenda Zionis dan Salibiyyah yang bergabung dalam pasukan Ahzab. Kumpulan ini ditubuhkan semula oleh Zionis Yahudi dengan semua kumpulan musuh daripada pelbagai ideologi yang baharu bersama golongan munafiq.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Rabi‘ al-Akhir 1448 / 21 September 2026





























