Majlis Penghayatan Hari Arafah Jadi Program Tahunan

1956

Oleh : Atiyyah Sakinah Mazuki

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan mengadakan Majlis Menghayati Keistimewaan Hari Arafah di Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man di sini pada 20 Ogos ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Terengganu agar merasai keistimewaan Hari Arafah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustas Mohd Nor Hamzah berkata, sambutan itu dijangka akan menjadi program tahunan bagi menyedarkan masyarakat betapa pentingnya Hari Arafah yang jatuh pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun.

Menurut beliau, hari Arafah adalah hari penyatuan masyarakat, bangsa, kaum, keturunan dan bahasa.

“Roh penyatuan umat islam islam itu sepatutnya dihayati oleh umat islam di mana-mana sahaja, termasuk rakyat Terengganu dengan menghayati perpaduan,

”dan mengenepikan perbezaan pandangan , pendapat, bahasa, bangsa serta keturunan yang disatukan atas nama islam untuk kepentingan dunia dan akhirat,” jelasnya

Beliau berkata demikian dalam membuat satu kenyataan yang dikeluarkan, berhubung dengan sambutan berkenaan di sini pada Ahad, 12 Ogos.

Justeru, kata beliau, Hari Arafah juga diharapkan dapat mengingatkan umat islam kepada Hari Akhirat dan beliau berharap, mudah-mudahan pada 9 Zulhijah akan mengingatkan kita rakyat Terengganu kepada akhirat dan persiapan untuk menunaikan ibadah qurban.

“Oleh kerana itu , kita mohon agar Hari Arafah dihayati oleh masyarakat dan seluruh masjid negeri ini melalui pengisian solat hajat, doa , zikir dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambah beliau, sebanyak tiga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dijemput hadir dalam program tersebut termasuk MPKK Kuala Nerus, MPKK Kuala Terengganu dan MPKK Marang.