Oleh : Ahmad Amzad Hashim
Jika difikirkan Rundingan Meja Bulat selama 2 jam yang menggugurkan perkataan penting “Rakyat” dengan kelahiran Pakatan Harapan, rundingan ini benar benar dilihat terlalu pra matang, eksklusif kerana memisahkan diri dari pandangan beberapa NGO NGO tertentu yang sudahpun hadir dan sepertinya tidak memberi perhatian kepada isu Malaysia Timur dengan tiadanya perwakilan Sabah dan Sarawak.
Yang menjadikan ia lebih teruk adalah kerana ia berlangsung tanpa persetujuan dan penyertaan parti politik utama yang mendapat dokongan terbanyak rakyat yang beragama Islam iaitulah PAS. Sebuah parti yang berasaskan akar umbi (mass based party), yang mempunyai kekuatan jentera yang paling menyeluruh khususnya di kalangan orang melayu.
Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, seorang tokoh politik veteran menegaskan PAS adalah parti tunjang jika mahu menubuh gabungan parti politik memimpin kerajaan yang baru menggantikan Barisan Nasional. Satu perkara yang sangat tidak disukai oleh DAP.


Kongres Rakyat sedang bergerak maju dari resolusi yang telah dipersetujui bagi langkah selanjutnya.
Beginilah caranya sesuatu kerjasama harus terbentuk. Perancangan dibuat awal supaya semua pihak dapat membuat persediaan. Perbincangan demi perbincangan sehingga idea benar benar masak dan matang.
Bukan dengan cara yang tergesa gesa sehingga timbul pelbagai masalah baru pula.
Gabungan PKR, DAP dan PAN dilihat tidak akan lebih berjaya dari Pakatan Rakyat.
Gambaran sokongan rakyat kepada pakatan baru ini adalah seperti kehadiran di BERSIH 4.0 yang bersungguh sungguh diusahakan, dipublisitikan, dibantu dengan pelbagai ceramah dan kempen dari parti parti ini. Yang hasilnya hanyalah penyertaan lebih 90% kaum Cina dan kira kira 5% orang orang Melayu.


Saya harap, usaha bersifat inklusif lanjutan Kongres Rakyat digerakkan segera termasuk dengan mempelawa kumpulan kumpulan yang beraliran sederhana dari komponen komponen BN yang sedang bergolak hebat, malah rakan rakan dari dalam PKR dan DAP sendiri yang lebih rasional pendekatannya.
Sukar dipercayai dengan cita cita memenangi Putrajaya dengan tiadanya parti tunjang yg mewakili kelompok rakyat terbesar iaitu PAS. Ini seperti ada agenda tersembunyi disebalik retorik besar ini. Sedangkan tujuan sebenar adalah menyelamatkan penguasaan DAP di Pulau Pinang semata mata.
Lebih sukar dipercayai dengan langkah menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri. Kerana ia bagai membutakan diri dengan peruntukan undang undang yang ada yang menjadikan “matlamat” itu mustahil dibuat tanpa melanggar undang undang pula.
Rakyat tidak akan terpesona dengan pakatan yang obsesinya hanya dua, iaitulah Putrajaya dan Anwar Ibrahim.


Tindakan terbaru DAP mengecam Khutbah Jumaat oleh Majlis Agama Islam Pahang yang berada di bawah DYMM Sultan Pahang akan hanya menjauhkan hati umat Islam dari Pakatan Harapan.
DAP mungkin boleh berhujah dengan undang undang. Akan tetapi cabar mencabar dan perdebatan tetap akan mengundang kerugian besar sokongan rakyat beragama Islam.
Rakyat tidak lupa apa yang berlaku dalam krisis MB Selangor yang mengheret sekali institusi Sultan. Cuba mempamerkan kepintaran undang undang yang akhirnya hanya menyerlahkan kecetekan pemahaman.
Pepatah Melayu:
“Cerdik tidak boleh diikut, Bodoh tidak boleh diajar”
Sebahagian mereka terlalu obses dengan kelompok elit mereka sehingga gagal berpijak pada realiti di akar umbi.
Kerana itulah ramalan politik mereka sentiasa salah. September 16, Langkah Kajang, Isu Menteri Besar Selangor, ramalan keyakinan mereka menang besar di Muktamar PAS, jangkaan PAS akan lumpuh yang sebaliknya semakin kukuh, BERSIH 4.0, keputusan keputusan kajian oleh Merdeka Center dan UMCEDEL.
***HJ. AHMAD AMZAD HASHIM ialah PengarahJabatan Penerangan PAS Pusat




























