Mad Sabu diharap dapat bantu Presiden

929
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita17/UHT1.jpg

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/03/UHT1.jpgKUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berharap Timbalan Presiden Pas yang baru, Mohamad Sabu dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin Pas yang mampu memenuhi keperluan parti berlandaskan perjuangan Islam.

Menurutnya, walaupun Mohamad Sabu dari kalangan profesional Pas, Harun berharap beliau dapat membantu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam menentukan hala tuju tanpa lari daripada perjuangan asal.

Bagaimanapun, beliau yakin Mohamad Sabu yang mendahului undian pesaing lain dalam pemilihan jawatan timbalan presiden 3 Jun lalu, akan terus bersama-sama dalam menegakkan perjuangan Islam.

“Saya percaya Mohamad Sabu tidak akan bertindak dalam pengurusan yang bercanggah dengan Islam dan saya berharap parti bertambah maju, mantap serta berdisiplin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ditanya jika ada pihak tidak berpuas hati dengan gandingan baru itu, Harun berharap perkara itu tidak timbul kerana ia adalah keputusan sebulat suara daripada ahli.

Beliau turut meminta semua pihak menghormati keputusan itu tanpa membangkitkan ketidakpuasan hati kerana tidak bersetuju dengan keputusan yang telah dimuktamadkan.

Harun sebaliknya menegaskan, mereka yang tidak bersetuju perlu menunggu muktamar akan datang untuk membuat perubahan.

“Kita harap tidak timbul perkara sebegitu, samada setuju atau tidak, mereka kenalah tunggu muktamar akan datang,” katanya.

Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden Pas menewaskan penyandang asalnya, Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Muktamar Pas yang berlangsung kelmarin (3 Jun).

Beliau mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim sebanyak 399 undi dan Nasharudin 224 undi daripada jumlah keseluruhan 1,045 undi.-SH