Luruan Monsun; JAM Dungun Siap Sedia Gerakkan Operasi

134
Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber

DUNGUN – Jambatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, telah melakukan segala persediaan bagi mengerakkan operasi membantu masyarakat menghadapi luruan Monsun Timur Laut dan gelombang banjir.

Komandannya, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber berkata, tindakan yang akan dilakukan membabitkan tiga fasa, sebelum bencana, semasa dan serta selepas air kembali surut.

“kita telah turun ke lapangan meninjau dan mengenalpasti Kawasan yang berisiko terutamanya di Daerah Hulu Dungun,

“peringkat awal ini juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi telah menghantar peti sejuk ke kawasan dijangka akan terkepung yang dikhuatiri akan terputus bekalan darat.” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Tarmizi berkata demikian ketika mengulas amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bahawa, hujan dijangka berterusan bermula Khamis, 30 Disember 2021 sehingga Sabtu, 1 Januari 2022.

Oleh itu katanya, bila keadaan hujan berterusan petugas JAM akan menghantar keperluan dan bahan-bahan mentah ke kampung terbabit.

Menurutnya, pihak beliau juga yang telah memeriksa aset menyelamat termasuk bot dan memastikannya berada dalam keadaan baik.

“Semasa pasca banjir pula kita akan membantu keluarga terkesan membersihkan rumah-rumah mereka sepenuhnya.

“kita akan bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Khidmat Malaysia dan juga Kelab Pacuan Empat Roda Dungun (PADAT) sebagaimana kolaborasi sebelum ini,” jelasnya.

Tegasnya, dengan pengalaman yang telah dilalui, semua anggota JAM telah bersiap siaga mendepani segala kemungkinan.

“kita telah mengaktifkan jawatankuasa banjir, untuk terus berperanan di medan dengan memastikan segala jentera, kenderaan mampu berfungsi dengan sebaiknya agar tidak berlaku sebarang halangan dan masalah apabila melakukan operasi nanti, ”katanya.