DUNGUN – Kerajaan digesa mengemukakan pelan konkrit bagi mengatasi kelewatan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) bukan terus memberikan jawapan berpusing tanpa penyelesaian jelas kepada rakyat.
Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menegaskan bahawa rakyat Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan berhak mendapat kepastian mengenai pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) bernilai RM9.8 bilion yang sehingga kini masih belum mempunyai garis masa pelaksanaan jelas.
“Persoalannya, sampai bila rakyat Pantai Timur perlu menunggu?” katanya ketika membangkitkan kelewatan projek berkenaan yang sekian lama dinantikan rakyat di Parlimen hari ini.
Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila sehingga November 2026, dokumen ‘Request for Proposal'(RFP) masih dalam peringkat penyediaan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), sedangkan kerajaan sebelum ini menyasarkan dokumen tersebut dimuktamadkan pada tahun ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa model pembiayaan hibrid seperti projek Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang, yang melibatkan 60 peratus pembiayaan Kerajaan Persekutuan dan 40 peratus PLUS Berhad, tidak dipertimbangkan bagi pelaksanaan LPT3.
“Mengapa pembangunan infrastruktur di Pantai Timur seolah-olah perlu menunggu kemampuan pembiayaan swasta sepenuhnya?” persoal beliau.
Menurutnya, LPT3 bukan sekadar projek pembinaan jalan raya, sebaliknya merupakan nadi penting yang mampu merancakkan sektor perdagangan, logistik, perindustrian dan pelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Pantai Timur.
Ustaz Wan Hassan turut menegaskan bahawa rakyat tidak mahu persoalan mengenai LPT3 terus dijawab dengan merujuk kepada projek lain seperti LTU, KBKK dan ECRL, sedangkan isu sebenar berkaitan pelaksanaan lebuh raya itu masih belum terjawab.
“Kerajaan perlu tampil dengan pelan tindakan yang konkrit, bukan sekadar janji dan perancangan tanpa kepastian,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menetapkan garis masa yang jelas merangkumi pemuktamadan RFP, kelulusan projek, permulaan pembinaan serta sasaran penyiapan LPT3 agar rakyat mengetahui perkembangan sebenar projek berkenaan.
“Dengan nilai projek mencecah RM9.8 bilion, rakyat berhak mengetahui bila pembinaan akan bermula dan bilakah manfaatnya dapat dinikmati, selain menegaskan bahawa Pantai Timur juga berhak menerima pembangunan infrastruktur yang adil dan seimbang,” tegasnya lagi.









