Lombong Bukit Besi; Pekerja Asing ‘Rampas’ Peluang Kerja

4101

DUNGUN – Penduduk tempatan kesal kerana tenaga kerja lombong bijih besi di Bukit Besi adalah terdiri daripada pekerja asing yang disifatkan merampas peluang kerja mereka.

Menurut Timbalan Pengerusi MTD Bukit Besi, Naraza Muda, lebih 85 peratus pekerja empat lombong yang beroperasi, dibawa dari Bangladesh dan Indonesia.

Sedangkan katanya, ramai rakyat Terengganu yang masih lagi tidak ada pekerjaan apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi dan mencengkam kehidupan.

Hatta katanya, sehingga kerja buruh kasasr dan pembandu lori juga adalah terdiri daripada perkerja luar negara.

“Sepatutnya pihak negeri menguatkuasakan segera peraturan untuk tidak membenarkan tenaga pekerja asing,

“Dan pekerja biasa sepatut diberi kepada rakyat kitalah kecuali bahagian yang tidak ada kepakaran bagi penduduk tempatan,

“Itu wajarnya diberi kepada warga asing dan kita warga tempatan boleh ambil ilmu daripada mereka untuk kita jadikan orang kita berilmu,

“Bukan hanya memberi sampai pemandu lori dan jengkaut serta ‘tukang jaga’ pun orang asing,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa meninjau operasi lombong tersebut, Rabu, 21 Mac.

Oleh itu beliau menggesa kerajaan menguatkuasakan polisi penetapan jumlah pekerja asing dalam sektor itu.

Beliau juga mendesak kerajaan melaksanakan janji, tidak membawa hasil bijih keluar dan mestilah diproses dalam negeri Terengganu.

Beliau menyerankan hanya 20 peratus sahaja pekerja asing yang diambil dan para pengusaha lombong mesti megupah 80 peratus tenaga kerja dari kalangan penduduk tempatan.

“Tetapi seperti sekarang ini terbalik 80% warga asing dan 20% warga tempatan. Sewajarnya perlu dilihatlah,” jelasnya.

Beliau turut kesal kerana katanya, bandar Bukit Besi dan pembangunan sekitarnya adalah kerana wujudnya industri yang sudah berusia ratusan tahun.

Namun begitu katanya, ia benar-benar jadi sejarah apabila dimaklumkan usaha menggali khazanah negeri itu tu tidak lagi menggunakan khidmat penduduk tempatan.

”(dahulu) orang kita bekerja (lombong milik orang asing) dan lahir ramai pakar-pakar ilmu perlombongan tetapi kini tinggal sejarah,

“aktiviti perlombongan ini berjalan hampir tiap hari dan sebenarnya kawasan ini telah ditebus guna namun masih ada lagi galian-galian berharga disini,

“Selain daripada bijih timah dan bijih besi ada juga pihak mendakwa terdapat galian lain yang setakat ini kita tidak ada satu bukti saintifik,

“yang menyatakan ada unsur bijih timah dan juga galian yang berharga,”tambah beliau.

Kata Naraza, ketika pada masa pemerintahan Menteri Besar Dato Ahmad Said, kerajaan telah meluluskan sembilan lesen untuk melombong tetapi sekarang hanya empat beroperasi.

Menurutnya, tanah seluas 2,553.2 hektar (6,309.08 ekar) di kawasan Bukit Betung, Bukit Batu Tiga, Bukit Puteri dan Bukit Besi, Mukim Jerangau, Daerah Dungun yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Besul Tambahan, telah diluluskan untuk pajakan melombong bijih besi kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu pada tahun 2012.

“Tapi kini telah hampir dua tahun operasi pembalakan dilakukan tidak ada aktiviti perlombongan sepertimana diluluskan pihak kerajaan untuk melombong kawasan baru sebanyak dua ribu hektar lebih,

“jadi kita tertanya (tanya) juga apabila kawasan balak sudah diluluskan dan dikeluarkan tetapi kenapa kerajaan tidak mengaktifkan aktiviti perlombongan secara komersial,

“yang sepertimana disebut oleh Dato Seri Mat Said ketika itu kerajaan negeri akan memproses material hasil bumi di negeri Terengganu (di dalam negeri),” tegas beliau lagi.

Justeru katanya, pelaburan yang didakwa kerajaan melibatkan wang berbilion ringgit embina kilang Eastern Steel, tetapi hari ini masih lagi tidak berlaku sepertimana yang dirancang.

“Sewajarnya rakyat Terengganu melihat bagaimana kepentingan industri bijih dan juga pekerjaan kepada tempatan,

“Dan kerajaan mesti cari pelabur ambil bijih besi proses di negeri Terengganu tanpa perlu dibawa keluar negeri,”katanya.

Beliau benar-benar berharap kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dibawah pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memantau pengeluaran hasil bumi itu supaya memberikan faedah maksima kepada rakyat dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pemerintah.