Lima Teras Belanjawan ‘Melestarikan Kesejahteraan Bersama’

141

KUALA TERENGGANU — Kerajaan PAS Terengganu membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan “Melestarikan Kesejahteraan Bersama” berjumlah RM1.375 bilion, terkandung dalam Lima Teras.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, asas utama bajet tersebut ialah untuk Meneguhkan Pelaksanaan Agenda Islam dan Pembangunan Modal Insan.

“Teras Kedua : Menjana Semula Ekonomi dan Pendapatan Rakyat, Teras Ketiga : Menjamin Kesejahteraan Keluarga dan Sosial, Teras Keempat : Mendigitalisasikan Perkhidmatan Awam dan Teras Kelima : Melestarikan Alam Sekitar, ‘ katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini.

Katanya, strategi Teras Pertama mengandungi lima strategi iaitu, Merancakkan Aktiviti Dakwah dan Penerangan, Memperkasakan Modal Insan, Memantapkan Pentadbiran dan Perundangan Syariah

Manakala,strategi Teras Kedua adalah Memperhebat Sektor Pertanian dan Industri Makanan, Merancakkan Industri Pelancongan, Kebudayaan, Memajukan Pelaburan GLC dan Mengupayakan Perniagaan serta Menaik Taraf Infrastruktur Ekonomi.

“Kerajaan Negeri dengan sukacita mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk sektor pertanian pada tahun 2021 sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Peruntukan ini adalah jauh lebih besar berbanding pada tahun 2020 iaitu hanya sebanyak RM8 juta. Oleh itu, pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperhebat dan merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan di negeri ini,” jelas beliau.

Katanya, untuk Menjamin Kesejahteraan Keluarga dan Sosial, beliau menggariskan strategi Memastikan Kebolehcapaian Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti, Memacu Kecemerlangan Pendidikan, Menambah Bekalan dan Pemilikan Rumah, Memperkasakan Wanita, Keluarga dan Belia dan Meningkatkan Prestasi Sukan serta Membangunkan Infrastruktur Kemudahan Rakyat.

Bagi merealisasikan Teras eempat, kata beliau, salah satu usaha kerajaan ialah, menjayakan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu 2021-2030 dan Pelan Strategik Taman Maya AI (Artificial Intelligence) Terengganu 2021-2025.

Justeru, Teras Kelima iaitu Melestarikan Alam Sekitar, beliau berkata, bagi terus melindungi dan menjamin kelestarian alam inisiatif Terengganu Go Green & 3R (Reuse, Reduce, Recycle) yang akan diaktifkan terutamanya di semua peringkat.

“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu untuk pembukaan Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Sungai Ikan 2 bagi meningkatkan kapasiti dan kecekapan pelupusan sampah di negeri ini.

“Pada masa hadapan, TPS ini akan dilengkapkan dengan peralatan teknologi dengan kapasiti yang bersesuaian selain penggunaan insinerator bagi memproses sampah menjadi tenaga (waste-toenergy).” Tambah beliau