Oleh : NHA dan SMN
Penindasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan ekstremis Buddha Myamnar ke atas etnik Rohingya yang dinafikan hak mereka, merentap erti kemanusiaan.
Semua manusia berhak untuk dilayan selayaknya dan dikasihi atas dasar kasih sayang.


Misi Peduli Rohingya yang bermula pada 6hb Jun lalu, banyak bertumpu di Kota Langsa yang menempatkan pelarian teramai iaitu melebihi 1000 orang Rohingya.
Di Bireun Bayeun sahaja, terdapat 455 orang pelarian manakala di Pelabuhan Kuala Langsa pula menempatkan 600 orang lebih.
Selain itu, misi yang turut disokong oleh enam buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia ini juga turut menyantuni pelarian di Kem Lhoksukon, berhampiran Lhoksumawe, yang seramai 600 orang lebih dan sebuah lagi kem di Temiang, menjadi penempatan seramai 48 orang pelarian sahaja.


Hassan Ali yang bekerja sebagai petani di Myanmar dulu terpaksa meninggalkan anak dan isteri di sana demi kelangsungan hidup.
Ali mengatakan anak-anak dan isterinya boleh melarikan diri ke Bangladesh bila-bila masa sahaja apabila keadaan tidak mengizinkan.
Dia juga secara tidak langsung sebagai wakil pihak Rohingya untuk kemudahan komunikasi dengan pihak Aceh dan Malaysia kerana kebolehannya bertutur Bahasa Melayu.


“Selimut pun ada diberikan. Makanan dan air yang kami dapat dicatu agar semua dapat makan dan minum”, tambah Ali lagi.
Dengan bekalan makanan yang terhad itu, mereka dapat mengisi perut 1 atau 2 kali sehari sehinggalah akhirnya kapal besar mereka berlabuh di Indonesia.
“Saya tidak kisah negara mana, asalkan negara itu ada Muslim yang mahu terima kami”, ujar Ali kepiluan.
Kapal besar mereka berlabuh, tanpa mereka ketahui daerah manakah ia berhenti.
Ditakdirkan kapal mereka berlabuh di Aceh dan diselamatkan oleh pihak berkuasa Aceh.


“Kami di sini selesa dan lebih tenang. Kami boleh solat jemaah sama-sama dan mengaji. Kami suka hidup di sini bersama orang Aceh”, ucap Ali menutup pertemuan kami, ketika ditemui di kem penempatan Bireun Bayeun, yang terletak kira-kira 45 minit dari Kota Langsa.
Bila ditanya, apakah keperluan di kem penempatan mereka mencukupi dan adakah apa-apa lagi yang mereka perlukan, mereka berkata, mereka hanya mahu tinggal bersama saudara seIslam.
“Keperluan kami di sini lebih daripada mencukupi. Pakaian, makan dan minum semua sudah disediakan. Kami sekarang hanya mahu hidup bersama-sama saudara Islam dalam harmoni dan berjumpa dengan saudara-saudara kami di sini”, ujar Jamal Hussein.


“Kami di sini nekad tidak mahu keluar dari sini (Aceh). Kami gembira di sini.. Orang di sini baik pada kami. Jika ada pihak yang mahu hantar kami ke Myanmar lagi, lebih baik kami mati sahaja (tidak sanggup)”
“Di Myanmar kami ditindas dan dilayan tanpa perikemanusiaan. Kami tidak boleh baca Al-Quran, tidak boleh imarahkan masjid, tidak boleh laungkan azan kuat-kuat serta tidak dibenarkan bermesyuarat.. Banyak yang kami tidak boleh lakukan.. Kami ditindas kerana kami adalah seorang Muslim”, ujar Hussein lagi.
Penerimaan orang Aceh terhadap ‘Orang Hanyut Rohingya’ ini amat menakjubkan.
Walaupun mereka sendiri pun ramai yang susah dan bergelut mencari rezeki sendiri, namun mereka sudi menerima kehadiran saudara lain bersama mereka.


Dunia bertumpu ke Aceh. Banyak pihak NGO dari Indonesia dan antarabangsa berkampung di Aceh untuk menyampaikan sumbangan kepada etnik Rohingya yang ‘tersadai’ di sana.
Banyak juga keperluan dan barangan yang dibeli dari pekedai Aceh. Kehadiran sukarelawan yang berpusu-pusu ke sana juga merancakkan aktiviti ekonomi, khususnya di Kota Langsa.
Pendek kata, Aceh bagaikan ‘diserang’ oleh orang luar yang berbelanja ribuan juta rupiah di sana, hanya keran auntuk membantu warga Rohingya tersebut.
Seorang daripada kami bertanya kepada Jamal Hussein, Penduduk di Aceh sudah susah dan tidak kah kehadiran Rohingya akan menyusahkan lagi mereka?


“Mereka tidak perlu susah dengan keberadaan kami di sini (Aceh) kerana kami sedia untuk bekerja sendiri mencari nafkah demi kelangsungan hidup kami.
“Saya dulu di Myanmar bekerja sebagai nelayan dan sering masuk hutan mencari nafkah. Namun banyak kali ancaman dan diburu oleh pihak berkuasa Myanmar menyebabkan pergerakan kami terbatas.
“Anda boleh bayangkan jika ada saudara kami yang mati, jenazah saudara kami itu tidak boleh dituntut,”tegas Hussein.
Jamal Hussein, 29 tahun yang fasih bertutur Bahasa Melayu itu turut menceritakan bahawa tujuan pelarian mereka adalah untuk menuju ke Malaysia, di mana beliau tinggal sehingga tahun 2012.


Berhari-hari perjalanan dari Malaysia untuk kembali ke kampung dekat Bauthidaung, 25 kilometer dari bandar Maungdaw, di negeri Rakhine, Myanmar.
Beliau terpaksa melalui jalan darat sehingga ke sempadan Thailand-Myanmar, kemudian meredah hutan, sebelum menyusup masuk ke nagara sendiri.
Berhari-hari beliau terpaksa bersembunyi bagi mengelakkan dicekup oleh penguatkuasa negara Thailand dan Myanmar, akhirnya berjaya kembali ke kampungnya.
Kembali ke kawasan utara Myanmar yang telah dicatat sebagai kawasan paling padat penduduk berbangsa Rohingya di barat Myanmar itu, bermakna ‘misi bunuh diri’ kerana di situlah lokasi yang paling teruk berlaku ‘jenayah kemanusiaan’.


Walaupun tahu, risiko yang dihadapinya, ia tetap pualng dan akhirnya bertemu dengan saki baki keluarga dan kawan-kawan yang masih hidup.
Sejak 2012 beliau cuba untuk membawa keluar mereka yang masih bernyawa, untuk melarikan diri dari kekejaman ‘junta myanmar’ dan ekstremis Buddha.
Selepas meninggalkan Maungdaw dengan jalan laut, akhirnya selepas tiga bulan pelayaran, tanpa disedari mereka hanyut ke Aceh, Indonesia.
Sebelum itu, mereka terdampar beberapa hari di perairan Thailand.


Pelayaran ngeri mereka itu akhirnya ditakdirkan Allah berlabuh ke negeri Aceh Darussalam.
“Kami bersyukur kerana ditakdirkan sampai di Aceh. Di sini kami bebas mengamalkan ajaran Islam. Boleh baca quran dan solat berjemaah tanpa halangan. Makan minum dan tempat tinggal pun ada disediakan. Syukur Alhamdulillah”..
Semoga saudara Islam Aceh dan Rohingya dapat hidup di dalam keharmonian di dalam komuniti yang diberkati atas dasar keimanan kepada Allah SWT.
***NHA (Nurhidayah Ali) dan SMN (Sazali Mohd Noor) adalah dua orang aktivis Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu, yang meneroka bumi Aceh di Kota Langsa bersama 10 orang lagi aktivis NGOd dari KAMI, Ameerah dan PAPISMA pada Misi Peduli Rohingya dari 6hb hingga 10hb Jun lalu.




























