Lebih 5000 Dapat Sumbangan Keperluan Harian

883

KUALA TERENGGANU – Lebih 5000 bungkusan barangan keperluan diedarkan bagi meringankan beban kehidupan harian penduduk sekitar Kuala Nerus.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, bantuan itu adalah bagi menampung perbelanjaan mereka yang terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah, semalam saya membuat lawatan ke tiga buah rumah di kawasan Rumah Murah Telaga Daeng II dan menyampaikan sumbangan barangan serta sedikit wang tunai,

“Sehingga kini lebih 3000 unit pek barang bernilai RM50 telah diagihkan di seluruh parlimen dan menyusul lagi 2000 unit insyallah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, antara penerima sumbangan itu ialah dua orang jiran lama beliau.

Selain itu katanya, sumbangan diuruskan oleh Pusat Khidmat Parlimen, dihantar terus menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Oleh itu, beliau menegaskan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim mestilah dijaga dan diperkukuh walaupun masing-masing terpaksa ‘berkurung di rumah’.

“Di samping menyampaikan sumbangan, menyambung hubungan kasih mestilah diteruskan, sebagaimana disarankan oleh Islam,” tambah beliau.