Lawatan Sehari….. Selesaikah Masalah Penan?

1077

http://buletinonline.net/images/stories/berita29/penan.gifReaksi pembaca Cina amat berbeza, selepas Kumpulan Sokongan Penan mendedahkan tujuh kes lagi pencabulan seksual terhadap wanita Penan oleh pekerja pembalakan.  Misalnya, majalah agama (buddha) Pumen yang jarang menyentuh isu hak asasi manusia dan politik, mula memperuntukkan kolum untuk memperkenalkan kaum asli dan masalah yang dihadapi mereka.

Malah, majalah popular FRENDS juga menghubungi saya, menyatakan niat mereka untuk memberi liputan kepada isu pencabulan seksual terhadap wanita Penan.  Tidak kurang juga pertubuhan sosial dan pelajar yang juga mula prihatin terhadap situasi golongan minoriti.  Reaksi-reaksi yang memberangsangkan ini menunjukkan bahawa masyarakat arus perdana mula mengambil berat nasib golongan minoriti.

Namun demikian, unit kerajaan dan pegawainya pula menongkah arus, mengambil pendekatan yang sebaliknya.  Mereka cuba untuk meremehkan masalah yang dihadapi kaum asli, dengan sikap mereka yang konservatif dan pendekatan yang tertutup.  Misalnya, polis Sarawak secara terbuka menghina kebijaksanaan umum, menolak untuk menyiasat kes tersebut dengan alasan “tidak cukup peruntukan kos”.

Belumpun siasatan mendalam dijalankan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sharizat Abdul Jalil menafikan kewujudan kes baru.  Seterusnya, Timbalannya Heng Seai Kie (gambar kanan) seperti biasa mendakwa bahawa dirinya akan meneliti isu ini.  Akhirnya, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bahawa “lawatan satu hari” akan diadakan ke perkampungan Penan, untuk menunjukkan keprihatinannya terhadap orang Penan.

Sebagai rakyat, kita amat jelas bahawa nasib wanita Penan tetap tidak akan berubah – setelah skrip habis dibaca, dan sandiwara politikus melabuh tirai.

Masalah Penan semakin meruncing

Siapa pula yang begitu naif, sehingga mengandaikan masalah boleh diselesaikan hanya kerana isu pencabulan seksual terhadap wanita Penan dibawa ke parlimen, diberi liputan dalam media dan perbincangan dihangatkan.  “Penemuan baru” Heng Seai Kie bahawa “masalah tiada dokumen juga amat serius di kalangan Penan”, sebenarnya telah diungkit dalam dewan parlimen, DUN Sarawak, malah media antarabangsa sejak 30 tahun dahulu lagi.

Malah, ketika Heng menyandang jawatan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Galeri Mandarin Nasional di bawah RTM juga telah menyiarkan masalah “tiada dokumen” yang dihadapi 66 ribu orang kaum asli.

Seandainya “keprihatinan yang cukup” mampu menyelesaikan masalah Penan, maka siasatan terhadap kes pencabulan seksual akan mendedahkan kebenaran 10 tahun yang lalu, dan pekerja pembalak yang terbabit telah dijatuhkan hukuman.  Seandainya Najib ikhlas untuk mengambil berat terhadap kaum Penan, atau menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka selama 30 tahun, langkah pertamanya adalah memecat Pak Uban (Taib Mahmud, gambar kiri), Ketua Menteri Sarawak yang memerintah sejak tahun 1981.  Kemudian, singkirkan tycoon balak dan tycoon media yang menguasai sumber, kebebasan media dan ekonomi negeri Sarawak.

Namun, kita juga amat jelas bahawa bukan sahaja Najib tidak mempunyai tekad sedemikian, malah tiada niat baik yang sedemikian.  Bahkan punca yang lebih penting adalah, beliau tidak pernah memihak kepada kepentingan orang Penan, kaum asli Sarawak malah seluruh rakyat.

Menurut perangkaan banci pada tahun 2006, populasi orang Penan di Sarawak mencatat 15,485 orang, dan 9,223 orang berpusat di 69 perkampungan sekitar bahagian hulu dan tengah Sungai Baram.  Zaman tahun 1980-an yang menyaksikan pengambil-alihan tampuk pimpinan oleh Ketua Menteri sekarang, merupakan permulaan igauan orang Penan.

Pembalakan dan projek pembangunan atas nama “pemodenan” telah memusnahkan hutan dan merampas tanah mereka.  Kebanyakan orang Penan terpaksa menyesuaikan diri dengan dengan cara hidup yang amat asing untuk diri mereka.  Dan kehidupan sebegini yang mengakibatkan kebergantungan orang Penan terhadap syarikat pembalakan, dari segi ekonomi, dan menjurus kepada kejadian pencabulan seksual wanita Penan untuk puluhan tahun ini.

Saya ingin membuat andaian yang berani, bahawa PM, Menteri Wanita dan Timbalannya, malah ahli politik yang sudi “menunjukkan keprihatinan” mereka hanya membazir wang cukai rakyat dengan sekadar menjenguk ke situ.  Segala-gala akan kembali ke asal apabila mereka balik ke rumah banglo mereka yang mewah dan selesa.  Anak perempuan mereka dihantar dengan kereta rasmi, dilindungi pengawal peribadi, dan tidak akan menjadi sasaran perogol atau pencabulan seksual oleh pekerja balak.  Maka agak mustahil apabila anda menuntut supaya mereka memikirkan keselamatan wanita Penan – melainkan kalau anda memanggil Heng Seai Kie dan Menterinya untuk menumpang kereta pekerja balak ketika bekerja.

Langkah pilihanraya menghampiri?

Sesetengah orang meramalkan lawatan Najib ke perkampungan orang Penan memberi isyarat bahawa pilihan raya negeri Sarawak bakal dijalankan pada September atau Oktober tahun ini.  Apa yang buruk di sebaliknya, ia tidak memberi masa yang mencukupi kepada Pakatan Rakyat – yang baru-baru ini menang tipis di PRK Sibu dengan undi orang Cina – untuk membuat persediaan.  Apa yang baiknya, bukankah ini peluang keemasan untuk PR menggembleng gelombang kuasa rakyat dengan isu masalah Penan dan empangan Bakun?

Ini hanyalah andaian naif oleh penduduk Semenanjung Malaysia yang cetek pengetahunnya terhadap politik dan rakyat di Malaysia Timur.

Anda mungkin silap, anda mungkin betul apabila anda menuduh bahawa saya menyerah sebelum cuba sedaya-upaya.  Apa yang penting sebenarnya bukan sikap yang optimis atau pesimis, tetapi sejauh manakah kita yang biasa tunjuk keprihatinan dengan bibir ini, bersedia untuk melakukan sesuatu agar menyelesaikan masalah orang Penan secara menyeluruh?

Lawatan ke perkampungan tempatan untuk mengungkit semula luka mereka, mungkin menambah tekad sesetengah kelas wanita berkolar putih di Malaysia Barat untuk menentang keganasan.  Kenyataan media sekadar mewujudkan rasa bahawa diri kita sudah menyumbang ke arah masyarakat sivil.  Bagaimanapun, apa yang diperlukan oleh orang Penan mahupun kaum asli di Sarawak bukannya sokongan moral yang “lemah lembut” seperti ini, tetapi kuasa rakyat untuk masuk campur dalam politik dan mobilisasi sosial yang sebenarnya.

Iktibar daripada PRK Sibu

Setelah kemenangan DAP dalam PRK Sibu, elit di Semenanjung mengimbas keghairahan tsunami politik 8 Mac melalui facebook, twitter dan media internet.  Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor mengadakan satu forum selepas seminggu kemudian, dipenuhi dengan hadirin.  Selain ahli panel Ong Boon Keong, ahli panel dan hadirin yang lain tidak berniat untuk membincangkan bagaimana PR boleh menang dalam pilihan raya negeri yang akan datang, dan menjurus kepada pertukaran kerajaan di seluruh negara.  Sejauh manakah perang media yang dibangga-banggakan DAP dalam PRK Sibu, mujarab dalam pilihan raya negeri Sarawak?  Saya perlu mengaku bahawa saya sebenarnya tidak menaruh harapan yang tinggi.

Media memainkan peranan yang mustahak apabila rakyat menembusi hegemoni BN selama setengah abad, pada 8 Mac 2008.  Keadaan ini tidak akan berlaku di negeri Sarawak yang tertutup dari segi informasinya.  Lain kata seandainya PR mempunyai strategi yang rapi untuk menembusi sekatan informasi – tetapi jika keadaan di sebaliknya berlaku, maka isu Penan dan empangan Bakun tidak akan memberi kesan kepada penduduk luar bandar, yang kebanyakannya terdiri daripada orang asli yang merupakan sebahagian besar populasi pengundi.

Di Sarawak, tiada orang membaca suratkhabar atau melayari internet di luar lingkungan 30km dari bandar.  Tiada jaringan telefon yang lengkap selain di syarikat pembalak, apabila anda berada di luar lingkungan 60km dari bandar.  Lebih daripada 5,000 rumah panjang di Sarawak, memperolehi informasi yang kadang-kalanya diterima dari RTM, dan alat VCD player yang tidak lagi digunakan di Semenanjang Malaysia.

Lain kata jikalau PR boleh mencetak puluhan ribu vcd untuk melancarkan perang informasi.  Jika tidak, dalam keadaan sumber kempen, pendidikan pengundi yang serba kurang, kadar pendaftaran pengundi yang hanya mencecah 50% – kita boleh menjangkakan bahawa pengambilalihan kerajaan negeri Sarawak dan mengembalikan keadilan kepada kaum asli yang dieksploitasi – hanyalah angan-angan kosong.

Mitos PR mendarat di Timur

85 kerusi parlimen daripada jumlah 222 kerusi secara keseluruhannya berada di Malaysia Timur.  Hanya ahli politik yang kekurangan imaginasi politik akan meremehkan kepentingan untuk mendarat ke Timur – sebagai langkah keperluan untuk pertukaran kerajaan.  Apa yang pelik, amat kurang wakil rakyat PR yang sudi memandang berat realiti bahawa nilai undi di Sarawak lebih tinggi daripada undi di Malaysia Barat.  Malah, pertubuhan dan NGO di Semenanjung juga bersikap sedemikian.

Ia tidak bermakna bahawa Sarawak tidak memiliki syarat untuk mencetuskan tsunami politik sebagaimana yang berlaku pada 8 Mac 2008.  Namun, penduduk kaum asli di kampung yang ditindas di bawah kuasa pemerintahan “Pak Uban” langsung tidak memiliki kelayakan untuk mengundi.  Menurut perkiraan Ong Boon Keong, hanya separuh daripada penduduk kawasan kampung yang layak undi mendaftarkan diri sebagai pengundi.  Dengan kata lain, mendaftarkan mereka yang layak untuk mengundi, bukan sahaja kewajipan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil, malah kunci yang menentukan kemenangan PR dalam pilihan raya negeri mahupun PRU.

Kalau tewas dalam PRU, malah kerajaan negeri dikekalkan, maka orang Penan akan terus dieksploitasi oleh gerombolan yang mana kuasa politik dan ekonomi saling bersubahat.  Dalam keadaaan sedemikian, keselamatan wanita Penan akan terus diancam dalam hutan yang tumbuh dengan cakar pekerja pembalak.

Jadi, seandainya kita tidak mahu igauan wanita Penan berulang pada 20 tahun yang akan datang, maka kita seharusnya tidak menaruh harapan terhadap “lawatan sehari ke perkampungan Penan”, sebaliknya dengan sungguh-sungguh menggerakkan pendaftaran pengundi, menyumbang untuk memacu momentum kepada pendemokarasian Sarawak, malah seluruh negara.-Merdeka Review