Ada tuduhan yang mengatakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak istiqamah (konsisten) dalam beberapa langkahnya. Contoh terdekat ialah apabila bekerjasama dengan pihak lain, tiba-tiba kerjasama itu dibatalkan, tidakkah itu mungkir janji namanya?
PAS bertindak keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Selepas itu, ada yang meninggalkan PAS untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) dan terus bersama dengan PR, yang kemudian menjadi Pakatan Harapan (PH) selepas penyertaan PAN dianggap setia kepada pakatan dan tindakan bijaksana.
PAS ialah parti Islam yang berpandukan rujukan tertinggi dalam perlembagaannya berdasarkan Islam sebagai aqidah perjuangannya, iaitu al-Quran, hadis (Sunnah), ijmak para ulama’, dan qias yang nyata.
Inilah teladan daripada Rasulullah SAW yang mendahulukan al-Quran yang diwahyukan dengan perintah Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا ١٠٥
“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa-apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang-orang yang khianat.” [Surah al-Nisa’: 105]
Disertakan ayat-ayat lain yang menunjukkan ketegasannya mendahulukan al-Quran sebagai petunjuk.
Apabila tidak ada wahyu, maka Rasulullah SAW menyatakan keputusannya sendiri dengan hikmah kurniaan Allah yang dikawal oleh wahyu. Firman Allah SWT:
… وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَمَآ أَنزَلَ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَٱلۡحِكۡمَةِ يَعِظُكُم بِهِۦۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ ٢٣١
“…Ingatlah ni‘mat Allah kepadamu dan apa-apa yang telah diturunkan Allah kepadamu, iaitu al-Kitab dan al-Hikmah (al-Sunnah). Allah memberikan pengajaran kepadamu dengan apa-apa yang diturunkan-Nya itu. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [Surah al-Baqarah: 231]
Rasulullah SAW juga melakukan syura (mesyuarat) bersama sahabatnya dengan izin dan perintah Allah SWT:
فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ١٥٩
“Maka disebabkan rahmat daripada Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh sebab itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Surah Ali ‘Imran: 159]
Terdapat hadis apabila Rasulullah SAW menugaskan Mu‘az bin Jabal RA ke Yaman, Baginda bertanya Mu‘az bagaimana cara beliau membuat keputusan, lalu Mu‘az menegaskan bahawa beliau akan berhukum dengan Kitab Allah (al-Quran). Jika hukum tersebut tidak ada dalam Kitab Allah, maka dengan Sunnah Rasulullah, dan jika tidak ada juga, maka beliau akan berijtihad dan tidak menyimpang. [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Qada’, no. 3592 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, no. 22100, daripada Mu‘az bin Jabal]
Begitu juga para Khulafa’ al-Rashidin, iaitu Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, dan ‘Ali RA.
Al-Quran dan hadis (Sunnah) sebagai yang tertinggi. Al-Quran menjadi asas perlembagaan, sementara Sunnah pula mentafsirkannya secara praktikal. Al-Quran menetapkan dua keadaan dalam menentukan hukum. Pertama, nas yang dinamakan thawabit (putus dan tidak boleh diubah). Kedua, nas yang mutaghayyirat (menerima perubahan) mengikut perubahan situasi dan realiti.
Antara hukum yang boleh berubah ialah apabila berlaku perubahan dalam perjanjian yang membawa kepada percanggahan dengan dasar dan matlamat parti, antaranya ialah hubungan kerjasama dengan pihak lain, khususnya pihak bukan Islam yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, serta membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Adapun pelaksanaannya, Rasulullah SAW pernah mengadakan tahaluf siyasi (kerjasama politik) melalui Sahifah Madinah dengan kaum Yahudi di Madinah dan Perjanjian Damai Hudaibiyyah dengan kumpulan Musyrikin Makkah.
Apabila kaum Yahudi melanggar perjanjian dengan menubuhkan bala tentera Ahzab bersama kumpulan Musyrikin bagi menyerang Madinah, maka Rasulullah SAW membatalkan tahaluf kerana mereka bertindak menentang Islam dan bermusuh dengan negaranya.
Kaum Musyrikin Makkah melalui kabilah Bani Bakar pula telah menyerang kabilah Bani Khuza‘ah yang bernaung bawah kerajaan Islam yang disebut larangannya dalam perjanjian, bermakna mereka melanggar perjanjian damai.
Adapun kerjasama PAS dan PR adalah dalam perkara titik persamaan yang tidak menyentuh dasar dan perjuangan PAS serta dalam aspek menentang kezaliman yang melanggar konsep federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan terhadap kerajaan negeri.
Apabila DAP mengambil langkah menentang perjuangan negara Islam dan membantah pelaksanaan hukum Islam di negeri yang diperintah oleh PAS yang khusus bagi penganut Islam sahaja, di samping tindakan DAP memecahkan undi bagi menawan kawasan Melayu Islam untuk tujuan politik menguasai negara, maka Majlis Syura Ulamak yang bertanggungjawab menjaga perjalanan PAS mengikut dasar dan matlamatnya secara ilmu melalui nas (al-Quran dan Sunnah) dan ijtihad, membuat keputusan membatalkan tahaluf tersebut.
Tindakan PAS yang demikian adalah menepati al-Quran, Sunnah, dan adab politik yang betul disebabkan tingkah laku mereka yang menandakan permusuhan terhadap Islam dan perjuangannya. Inilah perkara yang nyata daripada dasar PAS dan matlamat perjuangannya.
Al-Quran hanya mengizinkan kerjasama dalam perkara yang harus demi kebaikan bersama disebabkan salah laku demokrasi dan konsep federalisme. Islam mengharamkan kerjasama secara wala’ (kesetiaan) yang menyentuh dasar dan matlamat Islam. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad) kerana rasa kasih sayang! Padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredaan-Ku, (maka janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa-apa yang kamu sembunyikan dan apa-apa yang kamu nyatakan. Dan sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.” [Surah al-Mumtahanah: 1]
Walaupun sebab penurunan wahyu berlaku pada zaman Rasulullah SAW, para ulama’ menegaskan satu kaedah ilmu tafsir:
الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.
“Iktibar (pengajaran) diambil daripada lafaz yang umum, bukan daripada sebab yang khusus (berlaku dalam sejarah silam).”
Al-Quran ialah Kitab Allah yang menjadi petunjuk pada sepanjang zaman dan kepada seluruh manusia dan tempat, tidak terhad pada zaman awal dan kepada kaum tertentu pada masa ayat diwahyukan sahaja.
Adapun pihak yang lain, terpulang kepada masing-masing untuk membuat keputusan. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya) serta ulu al-amri antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
PAS tetap beristiqamah berpegang pada dasar dan matlamat perjuangannya. Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Mereka yang meninggalkan PAS adalah tidak istiqamah serta mengkhianati dasar perjuangan dan matlamatnya.
PAS wajib menolak langkah yang salah dan sesat, iaitu tindakan yang berlawanan dengan perlembagaannya yang tertinggi mengikut Islam dan melanggar adab politik dengan cara yang tidak berakhlak.
PAS menolak teori progresif berkonsepkan pengaruh sekularisme yang mengubah nas yang bersifat thawabit (tetap), bukan mutaghayyirat (boleh mengikuti keperluan perubahan).
PAS juga menolak wala’ kepada pihak bukan Islam kerana mencari kemenangan yang dinyatakan oleh Allah menjadi sifat munafiq. Firman Allah SWT:
بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]
Terbukti dengan kerusi yang dimenangi hasil sokongan pihak bukan Islam, hanya segelintir sahaja pengundi Islam yang menyokong mereka.
PAS tidak peduli akan tuduhan bodoh terhadap langkah PAS dengan andaian kononnya kalangan profesional menolak PAS dan hanya orang bodoh sahaja bersama PAS. Firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ ١٣
“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.” [Surah al-Baqarah: 13]
Terbukti PAS mendapat sokongan yang besar daripada semua golongan, termasuk kalangan ilmuwan dalam semua jurusan dan mendapat kerusi paling besar jumlahnya di parlimen dan paling banyak negeri yang dikuasai, di samping kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak di beberapa buah negeri.
Segala keputusan berlaku dengan pertolongan Allah. Firman Allah SWT:
وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣
“Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi Pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 62–63]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Jumada al-Akhirah 1447 / 24 November 2025
[Bil: 80 / 2025]




























