Laksanakan Tanggungjawab, Daftar Segera Sebagai Penerima Vaksin

132

KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu diseru melaksanakan tanggungjawab mendaftar segera, bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kerana ianya satu ikhtiar untuk menamatkan pandemik tersebut.

Advakator Vaksin Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, ia bukan sahaja untuk melindungi diri tetapi untuk memutuskan jangkitan dalam masyarakat.

“Jikalau rakyat tidak mengambilnya, pandemik ini mungkin tidak akan berakhir. Tetapi jika semua rakyat mengambilnya, kita akan ada satu jaminan dan keyakinan bahawa pandemik ini dapat ditamatkan dalam masa yang terdekat,” jelasnya.

Fakhruddin berkata demikian ketika bersiaran menerusi Segmen Tanyalah Doktor, Siri Keempat yang bersiaran menerusi Lubna TV, dikendalikan oleh Dr Farhaana Husainy Hasbullah.

Katanya, beliau mengambil konsep mana yang lebih antara mudarat dan manfaat, sepertimana yang diketahui, virus maut itu memberi impak besar kepada kehidupan.

“Ini sangat membimbangkan berbanding mengambil vaksin yang mempunyai mudarat tetapi bersifat ringan dan sekejap sahaja,

“Ketika tubuh badan manusia menerima bahan luar, ia akan bertindakbalas untuk melindungi tubuh tetapi kesannya menyebabkan demam, sakit tulang, sakit belakang atau pening kepala,

“Kesan sampingan suntikan juga ada seperti rasa sakit, bengkak atau kebas pada tempat suntikan,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai, tidak perlu risau kerana kesan sampingan ringan akan hilang dalam masa beberapa hari dan ia tidak menjejaskan fizikal tubuh.

“Katakan ia ada kesan sampingan yang teruk, mereka perlu melaporkan dan mendapatkan rawatan di klinik berdekatan. Kerajaan juga akan menyediakan pampasan dan perlindungan kepada mereka,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya lagi, setelah mengambil vaksin, tetap berkemungkinan untuk dijangkiti kerana tubuh badan mengambil masa lebih kurang tiga minggu untuk membentuk antibodi tubuh secara penuh dan ia berbeza keatas setiap orang itu.